Home Nasional Wujudkan akta baharu, tangani cubaan cetus sensitiviti Islam – Pemuda BN PJ 

Wujudkan akta baharu, tangani cubaan cetus sensitiviti Islam – Pemuda BN PJ 

A'zlan Abu Bakar

PETALING JAYA – Sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan undang-undang baharu untuk menghukum sesiapa yang cuba menimbulkan sebarang isu khususnya berkaitan agama dan kaum di negara ini

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Petaling Jaya, A’zlan Abu Bakar menegaskan, ia bukan bertujuan menghukum, sebaliknya memberi kesedaran lebih berkesan kepada individu yang menghina, mempersenda atau menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

“Saya menyeru kerajaan supaya melihat perkara ini dengan lebih teliti sebab kita dapat lihat beberapa akta boleh digunakan untuk menguatkan perasaan saling hormat-menghormati antara sesama kita.

“Beberapa akta itu perlu diperhalusi yang melibatkan sensitiviti kaum agama dan apa juga yang boleh mencetuskan salah faham antara kaum dan agama,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu, enam lelaki membabitkan seorang pelanggan dan lima penghantar makanan direman selama dua hari berakhir esok bagi membantu siasatan kes pergaduhan di kawasan Sungai Way, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata ketika ini, pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan.

Semalam, polis menerima laporan daripada seorang penghantar makanan berusia 19 tahun yang tidak berpuas hati dengan seorang pelanggan didakwa menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama.

Pengadu membuat tangkap layar pesanan daripada pelanggan itu dan menularkannya ke aplikasi komunikasi kumpulan penghantar makanan di kawasan itu.

Menurut A’zlan, BN membina Malaysia sejak merdeka dengan kepelbagaian agama dan kemajmukan kaum, namun isu penghinaan agama Islam masih berleluasa tanpa tindakan tegas.

Apabila berlaku insiden seperti ini, ia amat mengecewakan dan menakutkan generasi akan datang, kita tidak mahu ia terus berlaku.

“Kerajaan dan pihak berkuasa perlu memainkan peranan ini bagi menghalang mana-mana pihak daripada terus mencetuskan provokasi kaum serta melakukan penghinaan kepada agama Islam.

“Kita tidak mahu perkara ini diletakkan sebagai satu ancaman kepada mana-mana pihak, kerajaan bertanggungjawab mengembalikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

A’zlan juga tidak mahu insiden seperti itu boleh mengulangi beberapa peristiwa berdarah yang pernah berlaku di dalam kawasan Petaling Jaya sebelum ini.

“Situasi yang berlaku semalam membuatkan kami BN PJ merasakan perkara ini amat serius

“Macam-macam kes pernah berlaku di Petaling Jaya, kes Kampung Medan, kes pembunuhan arwah Adib malah perkara ini terus berlaku disebabkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Susulan insiden itu juga, Pemuda BN Petaling Jaya turut menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada kelima-lima penghantar makanan yang ditahan di IPD Petaling Jaya, sejak semalam.

“Dalam insiden semalam, tercetus provokasi, setelah kami buat laporan polis, yang ditahan polis seramai lima orang ahli Penghantar yang berada di tempat kejadian semalam.

“Mereka yang ditahan ini, sebenarnya bukanlah mereka yang memukul, sebaliknya mereka ini yang meleraikan dan membawa mangsa untuk membuat laporan polis.

“Pemuda BN akan memberikan pembelaan dan cuba sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik dengan kerjasama kepimpinan Pemuda BN Selangor, Datuk Rizam Ismail,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. BN membina masyarakat majmuk konon, tetapi beri kerakyatan kepada pengganas PKM dengan talibarutnya yang ditubuhkan dan dibiayai sekian lama oleh Tanah Besar Cina sehingga 1989 dan tendang keluar Singapura dan Penang kepada majority kaum asing dari Tanah Besar Cina dan India. Pelarian dari Myanmar seperti Rohingya, Kachin. Karen, dan Shan lebih layak dapat kerakyatan Malaysia berbanding pengganas PKM dengan talibarutnya sekiranya BN pro rakyat berbilang kaum, kan?

Comments are closed.