Home Politik Hindari dakwaan jemaah tak dapat pergi haji kerana guna wang tak berkat...

Hindari dakwaan jemaah tak dapat pergi haji kerana guna wang tak berkat – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi new Cabinet
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Jangan ada pihak mengambil kesempatan mendakwa bakal jemaah tahun ini yang tidak dibenarkan menunaikan haji kerana mereka menggunakan wang tidak berkat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bimbang ada suara-suara sedemikian berulang ketika bakal jemaah bersedih kerana tidak dapat menunaikan ibadat kali ini.

“Bagaimanapun marilah kita saling berpesan jangan ada suara-suara kejahilan cuba memutarbelit menyalahkan jemaah haji pula.

“Mendakwa kononnya mereka yang tidak dapat menunaikan ibadah haji semasa Covid-19 kerana wang yang digunakan tidak berkat.

“Suara-suara seperti itu pernah didengari sebelum ini. Sudah-sudahlah. Ini soal pandemik dan pengurusannya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid dalam masa yang sama simpati mendengar perkhabaran kerajaan Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji ke Tanah Suci bagi Musim Haji 1442H.

Katanya, perasaan sedih pastinya tidak dapat dibendung bakal jemaah haji yang telah pun mendapat tawaran menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Jelas beliau, selepas begitu besar harapan mereka apabila dimaklumkan Malaysia dapat tambahan 10,000 kuota haji pada Mac lalu.

“Namun apakan daya pandemik Covid-19 masih membimbangkan dunia termasuk Malaysia yang mencatat ribuan kes sehari.

“Saya berharap para jemaah haji Malaysia tabah dan bersabar dengan perkembangan terbaru ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataannya mengatakan bahawa Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H dan akur serta menghormati keputusan kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah haji dijalankan bagi warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut. – MalaysiaGazette