Home Nasional Insiden pelanggaran tren: MOT tidak ‘sembunyikan’ maklumat – Wee

Insiden pelanggaran tren: MOT tidak ‘sembunyikan’ maklumat – Wee

Keadaan tren LRT yang terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen LRT KLCC.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jawatankuasa MOT yang menyiasat mengenai insiden perlanggaran Transit Aliran Ringan (LRT) pada 24 Mei lepas, tidak pernah menyatakan tiada pihak yang boleh dipersalahkan kerana menyebabkan kejadian itu berlaku.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tiada apa yang hendak disembunyikan berhubung siasatan insiden berkenaan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Jawatankuasa Siasatan ini adalah jawatankuasa yang ditugaskan untuk menjalankan siasatan, bukannya badan kehakiman. Oleh itu, jawatankuasa ini tiada kuasa untuk menentukan kesalahan ke atas mana-mana pihak.

“Sebarang tindakan dalaman/pentadbiran yang hendak diambil terhadap kakitangan yang terlibat dalam insiden ini, hendaklah berlandaskan kepada terma dan syarat yang telah diperuntukkan di dalam kontrak kerja yang ditandatangani oleh mereka dengan pihak Prasarana masing-masing,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya hari ini.

Beliau menjelaskan ungkapan “Tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti terhadap mana-mana pihak” yang menurutnya bukan bermaksud tiada yang bersalah.

Pada 10 Jun, Wee dilaporkan berkata masalah teknikal dan kegagalan komunikasi antara Pusat Kawalan Operasi (OCC) dengan pemandu (hostler), adalah antara punca berlakunya pelanggaran tren LRT laluan Kelana Jaya, 24 Mei lepas.

Dalam kejadian 24 Mei lepas, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Wee berkata, dalam menentukan suatu dapatan salah dan tanggungan, proses perundangan sewajarnya perlu dilaksanakan, demi memastikan bahawa prinsip keadilan sejagat turut diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian pelanggaran LRT terbabit.

Katanya, Jawatankuasa Siasatan bukannya ditubuhkan untuk menjatuhkan hukuman, dan MOT tiada kuasa untuk menghakimi apa jua kes.

“Ketika saya mengarahkan pembentukan Jawatankuasa Siasatan untuk memeriksa secara terperinci pelanggaran LRT ini, segala rujukan dapatan jawatankuasa itu juga haruslah dijelaskan dalam mencapai misinya. Kami ingin mengelakkan perkara seperti ini berulang pada masa akan datang,” katanya.

Wee berkata peranan jawatankuasa itu adalah untuk menentukan faktor dan sebab berlakunya kejadian berkenaan, yang merupakan fungsi utama penubuhan Jawatankuasa Siasatan untuk dilaksanakan dan menyelesaikannya dalam tempoh yang ditentukan.

Siasatan dilakukan berdasarkan fakta dan analisa data yang diperoleh dan, atau diberikan kepada jawatankuasa berkenaan secara profesional dengan keutamaannya adalah memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Saya juga secara peribadi telah mengunjungi dan menghubungi mangsa-mangsa yang cedera. Kami memandang serius terhadap apa yang menimpa mereka.

“Seperti yang telah saya maklumkan dalam sidang media pada 10 Jun, sebanyak 23 cadangan dibentang dan diterima oleh Kabinet adalah untuk membawa perubahan menyeluruh berhubung prosedur keselamatan dan operasi Rapid Rail Sdn Bhd serta Prasarana Malaysia Berhad, dan akan dilaksanakan dalam jangka masa yang dikemukakan,” katanya.

Pada 10 Jun, Wee dilaporkan berkata cadangan penambahbaikan disarankan oleh Jawatankuasa Siasatan itu melibatkan lima cadangan yang perlu dilakukan dalam masa tiga bulan, 11 cadangan dalam masa antara tiga dan enam bulan, dan tujuh penambahbaikan dalam masa lebih dari enam bulan.

— BERNAMA