KUALA LUMPUR – Dalam tempoh sebulan setengah berbaki sebelum darurat tamat, lebih baik kerajaan manfaatkan kuasa yang ada untuk kepentingan rakyat.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tiga cadangan dari pihaknya kepada kerajaan bagi membantu rakyat.
Pertama, arahkan bank tawarkan moratorium tanpa caj mahu pun faedah tambahan kepada semua golongan termasuk M40.
Kedua, arahkan KWSP untuk rakyat akses kepada i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 dan ketiga kawal harga barang keperluan asas yang naik mendadak di kala pandemik.
“Apa guna darurat jika tidak dapat bantu rakyat,” tegasnya.
Jelas beliau, Pemuda UMNO juga berpendirian selepas 1 Ogos 2021 tidak perlu lagi diteruskan darurat kerana ia ternyata lebih memudaratkan negara sedangkan jelas tidak berkesan untuk menurunkan kes Covid-19 kepada sekurang-kurangnya dua angka.
“Saya tidak mahu mengulas siapa yang betul antara Ketua Pengarah Kesihatan dan Menteri Undang-Undang, walaupun resah melihat dua anggota pentadbiran saling berkontradiksi antara satu sama lain mengenai isu darurat.
“Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah kata hanya Tuanku Agong (Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah) punya budi bicara untuk teruskan darurat ataupun tidak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah Dr Asyraf lagi, kemudian, Menteri Undang-Undang pula perbetulkan kenyataan itu bahawa hanya Jemaah Menteri boleh nasihat Tuanku Agong (tidak timbul budi bicara) untuk teruskan darurat ataupun tidak.
“Yang pasti Perdana Menteri dalam perutusan khas beliau menyatakan secara jelas bahawa yang di bawah ordinan darurat, jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi tak perlu kenyataan-kenyataan yang buat rakyat lebih keliru! Tak mungkin PM bersandiwara dengan penubuhan jawatan khas darurat tersebut,” katanya lagi.- MalaysiaGazette