Home Politik Shabudin kesal ada orang politik, selebriti ingkar SOP

Shabudin kesal ada orang politik, selebriti ingkar SOP

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya
Datuk Shabudin Yahaya

KUALA LUMPUR – Masih ada segelintir rakyat negara ini yang degil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dari rakyat biasa, selebriti  hinggalah ahli politiki.

“Orang politik pun ada ambil kesempatan langgar SOP sana sini.  Semua ini mesti dihentikan,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata,  SOP dibuat bukan untuk menyusahkan tetapi memudahkan kita untuk kembali kepada hidup normal.

Hanya itu jalan terbaik untuk mengembalikan suasana bebas penularan Covid-19 seperti dipraktikkan di sesetengah negara luar, kata  Shabudin.

“Kita semua kena sedar, bahawa negara luar yang berjaya menyekat penularan wabak ini bukan hanya kerana kerajaan mereka melakukan penguatkuasaan semata-mata.

“Tetapi pemimpin dan rakyat mereka memainkan peranan mematuhi SOP, bertanggungjawab, jujur dan tidak cuba untuk menipu SOP,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dalam satu kenyataan hari ini.

Shabudin berkata,  kerajaan kini sedang berusaha meningkatkan perlaksanaan vaksinasi kdengan pengimportan lebih banyak bekalan vaksin dan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

“Matlamat kerajaan adalah bagi mencapai imunisasi 80 peratus rakyat sebelum akhir tahun. Alhamdulillah, jika dilihatkan prestasi terkini, matlamat ini mungkin dicapai lebih awal dari jangkaan,” ujarnya.

Namun usaha itu, menurutnya, perlu disambut dengan mendaftar untuk divaksinasi dan disokong juga dengan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan bagi menurunkan kadar jangkitan di dalam komuniti kita.

“Janganlah kita tunggu sehingga saudara, ahli keluarga kita hilang nyawa baru kita mengambil serius perkara ini,” katanya.- MalaysiaGazette