Home Nasional 5 individu dikompuan RM20,000 berkumpul di hotel

5 individu dikompuan RM20,000 berkumpul di hotel

Lima individu dikompaun berkumpul bagi tujuan sosial di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini semalam.

GEORGE TOWN – Empat lelaki dan seorang wanita dikompaun RM20,000 selepas didapati berkumpul sambil meminum minuman keras di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini semalam.

Tindakan mereka dikesan pihak polis ketika melakukan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh di sekitar kawasan berkenaan pada jam 5.20 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 63 tahun itu merupakan saudara mara.

Soffian Santong.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati salah seorang daripada lelaki itu datang dari Kuala Lumpur atas urusan kerja.

“Susulan itu, saudara mara lelaki berkenaan berkumpul dan minum di hotel yang juga tempat penginapan lelaki tersebut.

“Semakan ke atas ahli keluarga yang lain mendapati masing-masing tinggal di dalam daerah Timur Laut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Lima individu dikompaun RM20,000 kerana ingkar SOP   semalam.

Menurut Soffian, lima individu tersebut didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan hukuman di bawah Peraturan 17(1) peraturan yang sama.

“Kita telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM4,000 ke atas setiap seorang mereka kerana melanggar SOP iaitu berkumpul untuk tujuan sosial,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Soffian memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi arahan PKP 3.0 kerana kegagalan pematuhan SOP itu boleh menyebabkan mereka dikompaun, ditahan atau didakwa di mahkamah. – MalaysiaGazette