SEATTLE – Satu tempat duduk untuk berada dalam kapal angkasa bersama jutawan Jeff Bezos dibida pada harga AS$28 juta semasa lelongan yang berlangsung pada hari Sabtu.
Bidaan itu mengakhiri proses penawaran selama sebulan untuk terbang menaiki Blue Origin pada bulan depan.
Dalam masa empat minit lelongan secara langsung menerusi telefon itu telah tawaran mencapai lebih daripada AS$20 juta.
Tawaran ditutup tujuh minit selepas lelongan bermula.
Identiti pemenang masih belum didedahkan.
Pelancaran New Shepard Blue Origin dari barat Texas pada 20 Julai ini akan menjadi detik penting ketika firma Amerika Syarikat itu mahu mengkomersialkan perjalanan ke angkasa.
Pengasas Blue Origin dan eksekutif Amazon.com, Bezos, orang terkaya di dunia dan peminat angkasa itu telah berlumba menyaingi rakan-rakan aeronaut, Richard Branson dan Elon Musk untuk menjadi yang pertama melakukan perjalanan di luar atmosfera bumi.
“Untuk melihat bumi dari angkasa, mengubah anda. Ini mengubah hubungan anda dengan planet ini, dengan kemanusiaan,” kata Bezos dalam sebuah video sebelum lelongan akhir berlangsung.
Sebelum lelongan secara live itu, proses bidaan telah dilakukan selama sebulan dan ditutup pada hari Khamis lalu.
Bidaan itu disertai lebih daripada 6,000 orang, sekurang-kurangnya dari 143 negara, kata Blue Origin. – MalaysiaGazette