Home Utama Fasa 4 PICK diaktifkan – KJ

Fasa 4 PICK diaktifkan – KJ

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengaktifkan fasa keempat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, fasa kali ini akan melibatkan sektor perkilangan yang beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

“Fasa kawalan wabak perlu digerakkan secepat mungkin di kalangan industri agar kluster tempat kerja dapat dikawal.

“Kita akan bermula dengan sektor industri pada minggu ini di mana satu usaha PPV Industri akan diselaraskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri terutamanya bagi sektor perkilangan,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, pelaksanaan itu adalah keputusan bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV).

Malah Khairy berkata, satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Selepas ini ia akan dibuka PPV Industri kepada sektor lain iaitu pembinaan, peladangan, peruncitan dan hospitaliti.

“Ia akan digerakkan secara berperingkat-peringkat bagi memastikan setiap sektor akan dapat dilindungi,” katanya.

Untuk rekod, enam PPV mega telah beroperasi dalam usaha kerajaan untuk menyegerakan fasa dua PICK.

Secara keseluruhannya 30,000 orang boleh divaksinasi setiap hari melalui enam PPV tambahan ini.

Sebelum ini, Khairy berkata, fasa keempat akan melibatkan sektor ekonomi kritikal, termasuk yang perlu beroperasi sepanjang PKP.

Antara industri yang akan terbabit dalam fasa itu adalah dari sektor pembuatan, eksport, logistik, pengangkutan, tenaga dan utiliti.

Dalam pada itu, satu lagi Pusat Pemberian Vaksin (PP) mega dibuka di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC).

Ia telah mula beroperasi awal pagi tadi dengan kapasiti 8,000 dos.

“Penjadualan jumlah janji temu untuk MIECC pada hari ini adalah dihadkan kepada 4,900 dos daripada kapatisiti sebenar 8,000 dos.

“Jumlah ini akan ditambah secara berperingkat dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette