Home Nasional Ibu hamil jangan takut pada vaksin – Dr Premitha

Ibu hamil jangan takut pada vaksin – Dr Premitha

Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Premitha Damodaran

KUALA LUMPUR – Wanita hamil digesa mendapatkan vaksin Covid-19 dalam tempoh antara 14 hingga 33 minggu kehamilan.

Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Premitha Damodaran berkata, tubuh wanita hamil akan mengalami perubahan drastik untuk disesuaikan dengan kesihatan dan keselamatan bayi dalam kandungannya.

Katanya, selain itu, tahap imuniti wanita hamil akan menurun dan mudah terdedah pada pelbagai jenis penyakit. 

“Secara umumnya, seorang ibu hamil digalakkan untuk mengambil vaksin influenza dan ia dapat melindungi daripada influenza, kancing gigi, difteria dan batuk kokol (whooping cough).

“Batuk kokol adalah sejenis penyakit mudah berjangkit yang boleh meningkatkan risiko kematian dalam kalangan bayi baharu lahir,” katanya kepada MalaysiaGazette sambil menambah vaksin batuk kokol, dikenali pertussis, lazimnya diberikan kepada bayi selepas tiga bulan kelahiran.

Tambah beliau, wanita hamil perlu diberi vaksin Tdap untuk memastikan antibodi dalam badan dapat disalurkan kepada bayi untuk memberikan perlindungan jangka pendek.

“Golongan ibu sudah lama menerima vaksin sepanjang kandungan untuk menjamin kelahiran bayi yang sihat dan terlindung daripada penyakit.

“Tetapi pada masa sama kita perlu memastikan ibu-ibu ini mendapatkan vaksin Covid-19 kerana penyakit tersebut telah terbukti lebih berbahaya berbanding penyakit lain.

“Dalam kes positif Covid-19 yang melibatkan ibu hamil, kategori klinikal penyakit tersebut boleh bertambah serius dalam masa singkat berbanding individu lain,” ujarnya.

Menurut Dr Premitha, sekiranya mereka yang tidak hamil masih boleh dikuarantinkan di rumah bagi Kategori 1 atau 2, keadaan ibu hamil boleh melarat dengan cepat kerana rahim ibu yang mengembang mengikut tempoh kehamilannya khususnya selepas memasuki bulan keempat akan memberi impak terhadap paru-paru.

Berikutan itu, katanya, wanita hamil yang disahkan positif Covid-19 sering kali ditahan di hospital untuk perhatian lanjut sehingga betul-betul sembuh.

Kata Dr Premitha lagi, sebagai Perunding Perbidanan & Sakit Puan antara tanggungjawab adalah untuk memastikan semua ibu menikmati pengalaman kehamilan yang mudah dan menggembirakan.

Namun jelas beliau sejak berlakunya pandemik ini pihaknya perlu melipat gandakan usaha bagi memastikan anita hamil dapat melahirkan bayi mereka dengan selamat.

Ketika di tanya tentang kesan sampingan vaksin Covid-19, Dr Premitha berkata, ia akan hilang dalam tempoh singkat.

Antaranya kesan sampingan itu ialah rasa lenguh, pening kepala, mual dan demam, ujarnya.

Tambah beliau, wanita hamil perlu mendapatkan maklumat tepat dari pihak berwajib dan tidak terlalu terpengaruh dengan apa yang disebarkan dalam media sosial. – MalaysiaGazette