KUALA LUMPUR – Polis hari ini menafikan dakwaan terdapat sejumlah bayaran yang perlu dijelaskan untuk urusan jaminan lima penghantar makanan yang ditahan reman berhubung kes pergaduhan melibatkan sensitiviti agama baru-baru ini.
“Untuk kes jaminan polis, ia tidak memerlukan bayaran wang kecuali dituduh di mahkamah yang memerlukan wang jamin dengan seorang penjamin,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam sidang media secara maya hari ini.
Menurutnya, kesemua penghantar makanan itu telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam dan pihaknya kini dalam dalam proses melengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan kes itu selepas kesemua lima penghantar makanan itu ditahan reman dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Tambah Arjunaidi, apabila ada seseorang yang mengiklankan dan memberitahu membuat kutipan wang kepada polis, pihaknya telah memulakan siasatan terhadap pihak tersebut.
“Bila ada seseorang membuat iklan dan kutip wang bermakna polis syaki mungkin ada penyelewengan dan cuba ambil peluang.
“Oleh itu, kita siasat perkara berkenaan (kutip wang)… difahamkan sebentar tadi (tengahari) wakil badan bukan kerajaan (NGO) terbabit telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk menjelaskan perkara tersebut,” ujarnya.
Semalam, polis mengeluarkan kenyataan orang ramai agar tidak terperdaya dengan satu kenyataan yang dimuat naik dalam ruang Facebook milik sebuah NGO berkaitan kutipan derma atas alasan kononnya untuk membiayai wang jaminan lima penghantar makanan tersebut.
Kenyataan itu mendakwa lima penghantar makanan telah ditahan kerana mempertahankan kalimah Allah dan mereka perlu membayar wang ikat jamin sebanyak RM3,000 sehingga RM4,000 seorang.
Dalam kejadian di Sungai Way pada Jumaat lalu, enam individu termasuk seorang pelanggan dan lima penghantar makanan ditahan polis berhubung pergaduhan melibatkan sensitiviti agama di Sungai Way.-MalaysiaGazette