TEXAS – Mahkamah Amerika Syarikat (AS) mengarahkan seramai 178 kakitangan Hospital Houston Methodist Baytown yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 yang mereka mungkin dipecat sekiranya masih berdegil.
Hakim Daerah Houston berkata, tindakan itu mungkin dilakukan jika mereka gagal mengikuti arahan majikan mereka.
Hakim Lynn Hughes sebelum itu dalam keputusannya mengenepikan saman yang difailkan oleh 117 kakitangan Hospital Methodist Houston ke atas majikan mereka atas dakwaan dipaksa mengambil vaksinasi atau berdepan pembuangan kerja beramai-ramai.
Syarikat yang mengendalikan kira-kira 300 premis kesihatan di Texas memberikan 25,000 tenaga kerja tempoh sehingga 7 Jun ini untuk mengambil vaksin.
Difahamkan, hanya 24, 947 pekerja sahaja yang menurut arahan itu dan menerima vaksin sementara 178 orang lagi enggan berbuat demikian sebelum digantung tugas tanpa bayaran.
Dalam keputusan kehakiman pada Sabtu, Hughes membidas dakwaan salah seorang pekerja bernama Jennifer Bridges dalam saman bahawa vaksin adalah eksperimental dan bahaya.
Dalam keputusan lima muka surat itu, Hughes memutuskan tindakan majikan hospital yang mewajibkan kakitanganya mendapatkan suntikan vaksin adalah bukan paksaan sebaliknya berniat menyelamatkan nyawa daripada dijangkiti Covid-19.
“Bridges bebas untuk memilih sama ada menerima atau menolak vaksin Covid-19 bagaimanapun jika dia menolak, dia perlu kerja di tempat lain.
“Sekiranya seseorang pekerja menolak apa apa tugasan, pertukaran pejabat atau mana-mana arahan, dia mungkin dipecat,” katanya.
Beliau juga menambah undang-undang di Texas hanya melindungi pekerja daripada dipecat jika enggan terlibat dalam aktiviti haram.
Peguambela yang mewakili Bridges dan pekerja lain berkata, kesemua bekas kakitangan hospital berkenaan akan mencabar keputusan itu di mahkamah rayuan.
“Kesemua anak guam saya komited untuk melawan terhadap dasar yang zalim ini,” kata Woodfill dalam kenyataannya.
Dasar berkenaan mengakibatkan protes tercetus di luar hospital tersebut sambil mendukung plagat tetera vaksin adalah venom dan jangan hilang pertimbangan dalam hak kami.
Menurut Woodfill, apa yang mengejutkannya adalah ramai dalam kalangan kakitangan yang digantung pekerjaan itu adalah petugas barisan hadapan yang merawat pesakit positif Covid-19 di hospital berkenaan.
Akibatnya ramai dalam kalangan mereka dijangkiti pandemik.
Malangnya sebagai menghargai khidmat dan pengorbanan mereka, hospital berkenaan memberikan slip merah jambu dan menghukum mereka.
Bridges berhujah tiada sesiapa yang boleh dipaksa menerima sesuatu dalam badan mereka yang sekiranya rasa tidak selesa.
“Orang cuba paksa kamu mengambil sesuatu dalam badan yang anda tidak selesa sebagai syarat mempertahankan pekerjaaan anda, ini satu dosa.
“Saya bukan antivaksin, jika kamu berminat dapatkan vaksin, silakan dan saya tidak merampas hak itu daripada sesiapa, cuma nak setiap orang diberi pilihan dan hak membuat keputusan dengan sendiri tanpa paksaan,” keluhnya.
Kini kesemua 178 kakitangan itu diberi masa sehingga 21 Jun ini untuk akur dengan syarat syarikat untuk vaksinasi atau berdepan pembatalan pekerjaan mereka.-MalaysiaGazette