KUALA LUMPUR – Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa Ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh iaitu pada bulan September atau Oktober dengan prosedur operasi standard yang ketat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini adalah pendiriannya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai iaitu setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan negara hampir mencapai imuniti berkelompok.
”Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat hari ini.
Muhyiddin mengingatkan jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19.
Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 telah diwartakan pada 14 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021.
Melalui pewartaan Ordinan Darurat ini, satu Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan darurat dalam melawan Covid-19 dapat diurus dengan cekap dan berkesan.
Susulan pengumuman itu, Muhyiddin kemudian memaklumkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Agong.
Ekoran itu ramai ahli politik mempersoalkan penggantungan Parlimen pada saat cabang eksekutif dan kehakiman dalam kerajaan berjalan seperti biasa sepanjang darurat.- MalaysiaGazette