Home Pendapat Penangguhan haji pasti ada hikmah tersendiri

Penangguhan haji pasti ada hikmah tersendiri

Gambar hiasan

BAKAL  jemaah haji Malaysia sekali lagi pastinya merasa agak sedih dan kecewa apabila
dimaklumkan buat kali kedua berturut-turut ibadat haji pada tahun ini hanya terhad kepada penduduk dan pemastautin di Arab Saudi. Penangguhan ini adalah disebabkan pandemik Covid-19 19 di seluruh dunia yang masih belum banyak berubah bahkan terdapat gelombang baru peningkatan kes di sebahagian negara dan Malaysia tidak terkecuali.

Kerajaan Malaysia melalui kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, akur serta menghormati keputusan Kerajaan Arab Saudi yang terpaksa menangguhkan pemergian bakal-bakal haji ke Tanah Suci. Namun satu perkara penting yang telah berulangkali diperingatkan berkaitan syarat wajib untuk menunaikan ibadat haji selain daripada beragama Islam, baligh, berakal dan merdeka ialah syarat berkemampuan atau istito’ah.

Seseorang itu tidak wajib dan tidak berdosa jika tidak mampu dari segi kewangan, kesihatan, keselamatan dan kebenaran atau kuota (4K) untuk menunaikan ibadat haji. Firman Allah SWT yang bermaksud: “ .. Dan (antara) kewajipan manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadat haji ke Baitullah, iaitu bagi orang-orang yang mampu untuk perjalanan ke sana ” (Ali Imran: 97).

Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengadakan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) ke 37 pada 21-23 Disember 2020 dengan tema “Menghayati Istito’ah Haji dalam menangani wabak“. MHPK tersebut dijalankan secara virtual (dalam talian) telah dihadiri oleh lebih 500 orang peserta dalam kalangan para ulama’ dan cendikiawan Islam, terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH-JAKIM, Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA), anggota TH yang tertentu dan lain-lain jemputan.

Di akhir persidangan muzakarah tersebut, 17 resolusi telah dihasilkan untuk menjadi panduan dan rujukan umat Islam di Malaysia sebelum dan ketika menunaikan ibadat haji di musim wabak seperti Covid-19. Kewajipan haji banyak berkaitan dengan kemampuan seseorang, apatah lagi semasa musim wabak. Ini adalah disebabkan sifat rahmah dan kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-hambaNya.

Di antara resolusi MHPK ke-37 adalah berkaitan istito’ah amniah (keamanan dan keselamatan) dalam ibadat haji merangkumi keselamatan dalam aspek nyawa, harta, kehormatan, kesihatan, perjalanan, tempat tinggal di Tanah Suci dan pelaksanaan ibadat haji.

Muzakarah juga telah memutuskan bahawa Ulil Amri atau pihak kerajaan berhak mengehadkan bilangan atau tidak membenarkan bakal jemaah haji menunaikan fardhu haji ketika wabak sekiranya ia membawa kemudaratan kepada masyarakat dan negara.

Penangguhan ibadat haji pada kali ini, walaupun ia merupakan ujian yang berat bagi bakal jemaah haji namun ia pasti mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Ia adalah ketetapan Allah SWT Yang Maha Agung, Yang Maha Mengetahui lagi Maha Penyayang. Sebagai seorang muslim yang beriman kita perlu yakin bahawa setiap yang berlaku di dalam kehidupan di dunia ini pasti akan memberi kebaikan kepada diri kita sendiri sekiranya kita bersyukur dan bersabar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “ Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin, seluruh urusannya itu baik dan ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur dan jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Maka itu adalah baik baginya.” (Hadis Riwayat
Muslim).

Akhirnya marilah kita terus berdoa kepada Allah S.W.T agar diangkat segera ujian wabak penyakit ini supaya kita dapat menunaikan ibadat haji pada tahun hadapan.

 

Dr Anisah Abdul Ghani
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH-JAKIM