Home Nasional SPCare Group mampu vaksin sehingga 800 orang seminggu – Dr Sathia

SPCare Group mampu vaksin sehingga 800 orang seminggu – Dr Sathia

RAWANG – SPCare Group telah memohon untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin Covid-19, kata pemiliknya, Dr Sathia Prakash Nadarajan. 

Katanya, kini pihaknya mampu memberi vaksik kepada 222 orang seminggu menerusi empat kliniknya namun sekiranya permohonan itu dililuskan kapasiti pemberian vaksin akan meningkat antara 500 hingga 800 orang seminggu.

Kata Dr Sathia, bagi suntikan vaksin fasa kedua golongan yang mendapatkan suntikan berkenaan adalah golongan berusia 60 tahun ke atas dan yang mempunyai penyakit.

“Senarai yang SPCare terima juga rata-rata yang berusia 60 ke atas dan sehingga lebih 90 tahun selain pesakit berisiko tinggi, kebanyakan mereka sudah datang menerima suntikan mereka apabila di maklumkan melalui aplikasi MySejahtera.

“Ada juga yang tidak dapat berjalan, ada gunakan kerusi roda, ada juga yang duduk dalam kereta dan pasukan kita akan suntik dari dalam kereta, kita juga sedaya upaya menyenangkan yang hadir pada masa ini,” katanya kepada MalaysiaGazette sambil menambah APCare mempunyai 13 buah klinik.

Dr. Sathia berkata, pihaknya yang mula memberi vaksin ada 8 Jun lalu menempatkan ruang khas dan beberapa doktor, jururawat beserta pembantu bagi melakukan vaksinasi kepada mereka yang layak.

Jelas beliau, setelah disuntik, penerima vaksin akan ditempatkan di pusat observasi di mana mereka akan dinilai oleh doktor yang bertugas bagi melihat reaksi susulan antara 15 hingga 20 minit terlebih dahulu.

“Sebagai individu yang terlibat dalam program vaksinasi ini, kami berharap implementasi ini dapat dilakukan dengan baik dan berjalan lancar.

“Kami juga mengharapkan kehadiran 100 peratus bagi program ini dengan melibatkan diri dalam usaha kerajaan mendapatkan imuniti berkelompok,” katanya. SPCare merupakan klinik dan hospital swasta yang beroperasi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Kerajaan menyasarkan sebanyak 1,000 PPV membabitkan klinik dan hospital swasta beroperasi sebelum aakhir Jun ini bagi meningkatkan lagi kapasiti pengagihan vaksin negara. – MalaysiaGazette