Home Nasional Stor proses ketum diserbu, lima lelaki ditahan

Stor proses ketum diserbu, lima lelaki ditahan

Salah seorang suspek ditahan bersama air ketum yang telah siap diproses dan dibungkus di Jalan Banjaran 4, Tampoi, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Aktiviti sindiket pengedaran ketum di negeri ini lumpuh apabila stor pemprosesannya di Jalan Banjaran 4, Tampoi di sini diserbu Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.

Dalam operasi pukul 9.45 pagi itu, sejumlah 931 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM76,880 dirampas, kata Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang.

Menurutnya, pihaknya menahan lima lelaki tempatan berusia lingkungan 29 hingga 54 tahun.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan menjalankan aktiviti pengedaran dan pemprosesan daun ketum sejak setahun lalu

“Dalam serbuan terbabit, polis merampas 25 bungkusan guni berwarna putih dan kuning berisi daun hijau dipercayai daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 675 kg.

“Turut dirampas 22 bungkusan plastik lutsinar berisi daun ketum dengan anggaran berat kira-kira 256 kg,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dimin, Batalion 5 PGA turut menemukan sebanyak 80 botol lutsinar 1.5 liter dipercayai berisi air ketum yang telah dimasak diletakkan dalam empat tong ais di premis tersebut.-MalaysiaGazette