KUALA LUMPUR – Sehingga kini seramai 240,991 Orang Kelainan Upaya (OKU) telah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyifatkan jumlah itu masih rendah.
Daripada jumlah itu seramai 10,229 yang telah menerima suntikan dos pertama setakat ini.
“Mereka yang mendapat vaksin masih lagi rendah jumlah ini bersamaan 4.24 peratus,” katanya.
Untuk rekod, seramai lebih kurang 600,000 OKU di seluruh negara.
Terdahulu, Rina hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) OKU Pandu Lalu di Sime Darby Plantation Berhad di Ara Damansara hari ini.
PPV itu merupakan kerjasama di antara kementerian, OKU Central dan Sime Darby Plantation.
Justeru, Rina berharap lebih ramai OKU yang mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 supaya imuniti kelompok dapat dicapai dengan segera.
Mengulas mengenai PPV Pandu Lalu OKU, beliau berkata, sekurang-kurangnya 200 orang OKU dan penjaga menerima vaksin setiap hari.
PPV itu akan beroperasi selama lima bulan dan mensasarkan 16,000 penerima di kawasan Lembah Klang.
Proses pemberian vaksin akan dinilai sebelum PPV Pandu Lalu pertama di Asia Tenggara ini ditambah di negeri-negeri lain.
“Ketiga ada permintaan buat di negeri-negeri lain, ini hari pertama di sini kalau nak buat di negeri lain nak buat lebih baik jd kita nilai di sini dan akan luas,” katanya lagi.
Rina menyeru lebih banyak badan bukan kerajaan dan syarikat korporat lain akan bekerjasama dengan kerajaan untuk memastika proses pemberian vaksin dalam negara dapat disegerakan.
Turut hadir ke PPV Pandu Lalu OKU berkenaan, Presiden OKU Central, Datuk Ras Adiba Radzi.-MalaysiaGazette