Home Ekonomi Kerajaan tak patut bezakan perniagaan perlu, tidak perlu dalam buat keputusan –...

Kerajaan tak patut bezakan perniagaan perlu, tidak perlu dalam buat keputusan – Samenta

Peniaga menutup premis perniagaannya selepas waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam mulai hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) merayu kepada supaya membenarkan pembukaan semua sektor ekonomi sebaik sahaja bilangan jangkitan harian menurun di bawah 4,000.

Kerajaan tidak sepatutnya membezakan perniagaan yang ‘perlu’ dan ‘tidak perlu’ dalam membuat keputusan tersebut.

Presidennya, Datuk Willian Ng berkata, sekiranya keadaan cukup selamat untuk membuka semula mana-mana sektor, maka tidak ada sebab mengapa sektor lain tidak boleh dibuka, kecuali jika melibatkan risiko khusus atau penjarakan sosial tidak dapat dilaksanakan.

William Ng

Jelas beliau, sektor ini telah ‘kehilangan’ dua tahun akibat wabak ini dan sebarang pemulihan mungkin mengambil masa lebih dari satu dekad sebelum dapat kembali kepada kadar pertumbuhan ekonomi sebelum kemelut pandemik ini.

Katanya, sebarang pelan pemulihan harus merangkumi strategi untuk menghadapi normal baharu, meningkatkan produktiviti dan daya saing rakyat dan sektor ekonomi negara dan memperkenalkan struktur ekonomi baru yang diperlukan untuk menghadapi cabaran akan datang.

Oleh itu, penting bagi kerajaan untuk mengambil kira pendapat dari semua segmen masyarakat, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

”Pelan pemulihan negara harus mengutamakan kelangsungan hidup serta pemulihan dan pertumbuhan sektor ekonomi kita. Kita tidak boleh menang dalam perang melawan Covid-19, tetapi kalah dari segi ekonomi pasca-pandemik,” tambah beliau yang berharap Perdana Menteri tidak akan melepaskan komitmen beliau untuk membuka kembali aktiviti ekonomi seiring dengan penurunan kes-kes harian dan peningkatan kadar vaksinasi. – MalaysiaGazette

 

 

+ posts