Home Nasional KSM siasat majikan bukan sektor penting beroperasi sepanjang PKP Penuh

KSM siasat majikan bukan sektor penting beroperasi sepanjang PKP Penuh

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hadir bagi membuat pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) pematuhan Akta 446 ketika di Pasar Borong Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang menyiasat aduan ada majikan yang tidak layak beroperasi sebagai sektor perkhidmatan penting tetapi menjalankan operasi pada waktu darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh sekarang.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, siasatan  dilakukan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) selepas pihaknya menerima aduan daripada pekerjanya sendiri.

“Sejak 1 Jun hingga 15 Jun lalu, di seluruh Wilayah Persekutuan kita menerima sebanyak 214 aduan antaranya mengenai pekerja dipaksa bekerja oleh majikan mereka yang sebenarnya tidak layak langsung untuk mendapatkan kelulusan beroperasi sebagai sektor perkhidmatan penting tetapi dia menekan pekerja dia datang kerja tanpa kebenaran kerajaan.

“Kita sudah mengarahkan JTKSM yang kini menyiasat segala aduan-aduan itu untuk tindakan lebih tegas tanpa kompromi jika didapati benar,” katanya selepas melawat Pasar Borong Kuala Lumpur dan sebuah kilang memproses ais batu berhampiran Pasar Harian Selayang hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hadir bagi membuat pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) pematuhan Akta 446 ketika di Pasar Borong Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 JUN 2021.

Menurut Saravanan, daripada 214 aduan yang diterima, majoriti adalah berkaitan pelanggaran di bawah Seksyen 24D Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja serta Peraturan 3 dan 4 di bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020 iaitu tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja.

KSM juga mengulangi peringatan kepada semua majikan dan penyedia penginapan berpusat serta pemain industri agar sentiasa mematuhi akta yang dikuatkuasan bagi mengelak sebarang tindakan undang-undang yang tegas diambil terhadap mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Tapah itu juga menambah kementerianya turut menyiasat penglibatan kilang-kilang perindustrian dan majikan yang membuat pengisytiharan palsu dalam permohonan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk beroperasi semasa PKP Penuh.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai angka  kilang yang didakwa terlibat dalam mengemukakan dokumen pengisytiharan palsu kepada MITI namun pihaknya sedang menyiasat semua aduan.

“Sebenarnya kami menerima aduan-aduan itu dari pekerja majikan-majikan berkenaan menerusi mediumWorking for Workers (WFW), emel dan talian telefon yang mana pekerja sendiri mengaku majikan mereka tidak layak beroperasi dalam waktu PKP kerana tidak mengeluarkan produk mentah essential atau perkhidmatan penting.

“Kebanyakan pekerja yang mengadu itu mengesyaki bagaimana kilang mereka dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan penting yang jelas menyalahi undang-undang dan syarat Majlis Keselamatan Negara yang ditetapkan kerajaan sewaktu Covid-19 ketika ini.

“Kita akan siasat secara mendalam sama ada kelulusan yang diperoleh majikan dari MITI adalah tulen atau menggunakan dokumen palsu dan tindakan akan dikenakan mengikut Akta 342,’ ujarnya.

Beliau juga memaklumkan sehingga semalam, sebanyak 19,517 majikan diperiksa di seluruh negara melibatkan sejumlah 107,620 buah penginapan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 747 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) terhadap majikan pelbagai sektor yang melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta 446.

“Daripada 747 kertas siasatan, sebanyak 125 telah diambil tindakan pendakwaan di mahkamah sesyen di seluruh negara manakala 55 kes pendakwaan telah selesai dengan jumlah denda dibayar sebanyak RM361,000.

“Selain itu, 305 kertas siasatan telah dberi izin kompaun yang melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM3,323,000 terhadap majikan-majikan yang melakukan kesalahan di bawah Akta 446,” katanya.

Daripada jumlah keseluruhan data yang disebutkan di atas, bagi Kuala Lumpur, sebanyak 64 kertas siasatan telah dibuka dan 20 daripadanya telah diambil tindakan pendakwaan dan tiga telah selesai.

Ia melibatkan jumlah denda sebanyak RM70,000 sementara 27 kertas siasatan lagi mendapat izin kompaun yang melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM48,000.-MalaysiaGazette