KUALA LUMPUR – Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menggesa agar mahkamah syariah di seluruh negara beroperasi sepenuhnya selaras dengan keperluan perkhidmatan utama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ahli Jawatankuasanya, Senator Asmak Husin berkata, pembukaan operasi mahkamah syariah perlu bagi memastikan pelaksanaan penyampaian perkhidmatan keadilan diteruskan yang melibatkan kepentingan utama masyarakat iaitu keluarga khususnya kepentingan wanita dan kanak-kanak.
“Saya percaya dan yakin operasi mahkamah syariah seluruh negara dapat digerakkan selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata pemimpin Pas itu dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru menurut Asmak, kerajaan perlu menggubal ordinan yang sesuai untuk memudahkan prosedur perbicaraan dan pengurusan kes lama atau pun baharu.
“Oleh itu, saya berharap mereka yang terlibat boleh merujuk mahkamah berdekatan kerana ia ditetapkan mengikut Jabatan Kehakiman Syariah Negeri masing-masing.
“Dalam hal yang sama, saya juga menegaskan agar kes nafkah diutamakan dan kepentingan wanita dan kanak-kanak terbela. Soal nafkah melibatkan isu berkepentingan utama keluarga, sara diri dan makan minum pihak terlibat terutamanya pada waktu mendesak sekarang,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga memohon kepada kerajaan supaya mengambil perhatian serius terhadap kes-kes syariah melibatkan ibu tunggal atau keluarga yang diabaikan oleh ketua keluarga.
“Saya mendapat maklum bahawa masih ada ketua keluarga yang menerima bantuan kerajaan tetapi tidak sampai pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak termasuk yang masih dalam kes perbicaraan.
Atas dasar itu, pihaknya memohon kerajaan menyemak semula tindakan atau keputusan mahkamah syariah untuk memastikan ketua-ketua keluarga bertanggungjawab walaupun masih berlangsung kes mahu pun yang telah mendapat keputusan mahkamah. – MalaysiaGazette