Home Seni Hidup Nasib bekas editor, PRO, jurusolek ketika PKP

Nasib bekas editor, PRO, jurusolek ketika PKP

Che Lee bersama Sedek di depan gerai mereka.

KUALA LUMPUR – Lebih dua minggu apabila sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh bagi kita semua rakyat Malaysia. Diam tak diam sudah hampir dua tahun kita hidup dalam keresahan akibat penularan Covid-19.

Namun PKP kali ini rasanya sudah tidak janggal lagi buat kita kerana pengalaman pertama sudah mengajar kita banyak hal dalam merentas jalur kehidupan dalam pandemik.

Marilah kita sama sama berganding bahu serta menitipkan doa kepada Allah Yang Maha Esa agar kita dapat menempuhi keadaan ini dengan tenang dan kuat.

Che Pah sentiasa berdoa agar kali ini kita mampu membantu untuk melandaikan lengkuk keboleh jangkitan Covid-19 di seluruh negara. Yakin kita boleh.

Che Pah seperti biasa sama ada dalam PKP atau pun tidak, terus dengan norma biasa kehidupan. Bangun pagi selepas bermunajat kepada Ilahi, Che Pah ambil peluang sejam dua untuk membelai pokok bunga yang Che Pah tanam.

Seronok tengok mereka hidup subur menghijau sambil memutikkan bunga yang berkembangan mewangi serta menyerikan laman Che Pah.

Kala sedang membelek kelopak bunga mawar merah pagi semalam, terdetik dalam hati Che Pah untuk menyentuh sebuah isu yang tidak dimainkan pengamal media sebelum ini.

Dalam hati Che Pah berbisik, mengapa tidak Che Pah menulis perihal sahabat, di sebalik tabir dunia kewartawanan dan hiburan yang kini telah beralih arah ke dunia keusahawanan.

Mereka ini dulunya menjawat jawatan yang bagus samada sebagai editor majalah, wartawan jurusolek dan pegawai perhubungan awam (PRO) artis dan selebriti.

Kebanyakan rencana yang ditulis di dada media sosial sebelum ini Che Pah lihat tertumpu dalam kalangan pilot serta anak kapal yang kini berniaga.

Ada yang berniaga burger. Ada yang mengusahakan tanaman hidroponik dan tidak kurang yang berniaga pakaian.

Jadi kali ini Che Pah nak bawa pembaca semua menelusuri usaha gigih sahabat Che Pah yang sudah lebih setahun kebelakangan ini fokus kepada perniagaan yang mereka usahakan.

Waktu Che Pah masih bertugas sebagai wartawan di sebuah majalah perkahwinan dulu, sahabat jususolek ini antara yang selalu menyumbang bakti kepada Che Pah dan majalah Che Pah.

Butik Shamnina Omar di Bazaria 1 Malaysia, Muar.

Beliau yang Che Pah maksudkan ialah Badrul Hisham Omar atau lebih mesra dikenali sebagai Shamnina Omar.

Beliau bukan sahaja jurusolek pilihan Che Pah, malah kami merupakan sahabat sekampung. Kami mula bersahabat sejak dari sekolah rendah lagi.

Shamnina dulu seorang jususolek tersohor. Siapa dalam kalangan selebriti serta artis yang tidak pernah mendapatkan sentuhan keramat beliau. Boleh dikatakan semua sudah rasa.

Namun dek kerana kejatuhan dunia suratkhabar dan majalah diganti media sosial, khidmat jususolek seperti Shamnina menerima tamparan maha hebat.

Namun Shamnina tidak berdiam diri. Langkah pantas diambil. Shamnina tidak mahu terlalu lama menangisi keadaan yang menimpa.

Kini Shamnina menukar haluan. Sebuah butik pakaian bernama Butik Shamnina di Bazaria 1 Malaysia di kampung halamannya di Muar, Johor didirikan.

Beliau kini menumpu usaha menjual pakaian siap seperti blouse, baju kurung, habaya, tudung dan aksesori. Alhamdulillah perkembangan perniagaannya nampak sangat memberangsangkan.

Tak cukup di situ, beliau turut mengusahakan perniagaan makanan sejuk beku seperti karipap, kuih bakar dan pau di bawah jenama Shamnina Delights.

Selain Shamnina, seorang lagi sahabat Che Pah ini tak kurang hebatnya. Dulu dia seorang editor untuk sebuah majalah hiburan bersama Kumpulan Utusan.

Namun siapa sangka, syarikat yang berusia lebih 60 tahun itu tersungkur rebah lantas terpaksa ditutup dek bahang media sosial.

Ramai kawan media Che Pah yang terkesan. Sekejap masa mereka seolah hilang arah, termasuklah sahabat Che Pah ini.

Gerai Amie di Tok Mie Cuisine, Uptown Pekan Sungai Besi.

Dia yang Che Pah maksudkan ialah Mohd Rosli Manah, 53 atau mesra dikenali sebagai Che Lee. Semua rakan PRO dan selebriti lama dan baru pasti kenal dengan Che Lee.

Che Pah sangat terhutang budi dengan Che Lee dan dua orang sahabat wartawan lain iaitu Saharudin Mohd Musthafa dan Dr’s. Joha Ahmad.

Mereka bertiga telah mengizinkan Che Pah tinggal di rumah mereka tanpa sesen bayaran ketika Che Pah menjalani tugasan praktikal di syarikat Utusan Melayu.

Budi yang dihulur mereka, Che Pah kenang hingga akhir hayat. Semoga Allah merahmati mereka bertiga di dunia sampai akhirat.

Berbalik usaha Che Lee tadi, beliau dan seorang lagi sahabat wartawan Nor Sidek Ismail, 55, menjalankan perniagaan kuah lemak itik dan daging salai di Lake Fields, Bandar Tasik Selatan.

Mereka bergabung tenaga berniaga dari sekitar jam 9 pagi hingga petang setiap hari. DariĀ  satu cawangan, kini mereka sudah miliki dua cawangan, di dua tempat berbeza.

Kecekalan mereka sangat Che Pah kagumi. Bukan mudah berniaga di tepi jalan. Berhujan berpanas menjadi lumrah.

Namun mereka berdua sangat cekal dan Che Pah lihat mereka tidak mudah lemah semangat. Syabas buat mereka berdua.

Nama Amie atau nama sebenarnya Mohd Azmi Kassim, 55, pula bukan sebuah nama asing dalam dunia hiburan tanahair. Amie sebelum ini merupakan PA kepada penyanyi tersohor Haiza.

Semasa Haiza menyertai pertandingan program Gegar Vaganza sedikit masa lalu, Amie adalah orang yang bertanggungjawab dalam membina imej serta konsep persembahan untuk penyanyi ini.

Tidak keterlaluan jika Che Pah katakan yang Amie berjaya dalam tugasannya untuk Haiza. Maklum orang lama. Luas pengalaman.

Amie kini bergelar seorang usahawan. Awalnya Amie membuka gerai menjual jus detoks dan jagung di tepi jalan di Bandar Tasik Permaisuri.

Melihatkan sambutan yang memberangsangkan, Amie kini memberani diri membuka sebuah lagi gerai di tapak Uptown, Pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur. Gerainya diberi nama Tok Mie Cuisine.

Di gerai baru ini Amie mencuba nasib dengan memu masakan Nasi Kandar Melayu. Satu percubaan yang sangat berani.

Cuba bayangkan seorang yang dulunya tidak pernah terfikir untuk berjualan makanan dan jarang ke dapur, kini berjaya membuka perniagaan bersandar masakan yang dimasak sendiri.

Selain nasi Kandar, Amie juga turut mengusahakan rempeyek kacang tanah dan tumpi.

Namun dalam kesibukan berniaga,, Amie tidak melupakan tangggungjawabnya sebagai seorang anak.

Ibu tercinta kini berada dalam jagaannya. Amie mengambil seorang pembantu rumah untuk membantunya menguruskan ibu dan rumahtangga. Che Pah tabik hormat dengan Amie.

Danker di dusun buah buahan miliknya.

Selain Amie, lagi seorang sahabat PR Che Pah ini tidak kurang hebatnya. Nama Danker atau nama sebenarnya Badrul Hisham Wahab, 57, sudah tidak perlu diperkenalkan lagi.

Rata-rata dalam dunia hiburan kenal Danker. Danker yang Che Pah kenal seorang yang tidak banyak cakap. Dia lebih suka buat hal sendiri dan kurang gemar mencampuri hal orang lain.

Namun begitu, Danker ligat mencari rezeki. Selain sebagai PR, Danker turut membantu ramai usahawan mempromosikan produk mereka.

Danker beruntung kerana punya tanah di kampung halaman di Kuala Kangsar, Perak. Danker kini balik ke kampung dan mengusahakan projek ternakan ayam kampung, itik serta membuka dusun buah buahan.

Tanah yang dulunya dipenuhi hutan belantara kini dibersihkan. Sebahagian dijadikan dusun yang di tanam dengan pokok durian musang King dan mangga chokonan.

Manakala sebahagian lagi dibangunkan dengan projek belaaan ayam kampung dan itik. Telur itik pula Danker hasilkan telur asin untuk dijual di pasaran.

Walau baru bermula namun usaha Danker ini Che Pah lihat sudah mula membuahkan hasil. Selain itu ia juga seolah menjadi penyuntik semangat kepada sahabat yang lain untuk tampil sebagai usahawan berjaya.

Che Pah hanya mengambil empat sahabat diatas sebagai contoh. Ramai lagi yang telah beralih arah kepada kerjaya yang lain dan Alhamdulillah mereka semua berjaya.

Che Pah doakan agar Allah memperluaskan rezeki mereka. Semoga Allah memberi mereka kekuatan zahir dan batin dalam menempuh liku serta cabaran dalam dunia perniagaan.

Buat sahabat Che Pah, di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. Di mana ada keyakinan, di situ pasti terbentang kejayaan

Yakin pada diri, Letak Allah dalam hati. – MalaysiaGazette