Home Pendapat Perlu lebih proaktif tangani pengangguran

Perlu lebih proaktif tangani pengangguran

Sebuah kedai tutup akibat kekurangan pelanggan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Morib, Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

PENGANGGURAN bukan lagi suatu isu yang asing untuk dibincangkan. Negara sedang
mengalami krisis pengangguran yang kronik. Senario ini telah sedia membarah ini menjadi  lebih parah lagi apabila pandemik melanda negara.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Mei 2020, negara mencatatkan kadar
pengangguran sebanyak 5.3 peratus iaitu bersamaan dengan 826,100 penganggur.
Manakala pada awal tahun ini, iaitu pada bulan Februari 2021, kadar ini telah menurun
kepada 4.8 peratus iaitu bersamaan dengan 777,500 orang.

Walaupun peratusan ini sedikit menurun, namun jumlah penduduk yang tidak mempunyai
pekerjaan ini terlalu banyak dan harus dipandang serius oleh semua pihak terutamanya
pihak kerajaan.

Manakala, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), telah menjangkakan pada tahun 2020 kadar pengangguran akan meningkat kepada 9.2 peratus dan jika kes jangkitan virus ini terus menular.

Walaupun ramalan yang dibuat oleh MIER ini tersasar dari realiti, namun jangkaan ini boleh diguna pakai pada tahun 2021. Rakyat dan kerajaan harus berwaspada dan sentiasa bersedia dengan apa jua situasi yang bakal terjadi.

Sejak situasi ini melanda, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) hingga berlanjutan lagi sehingga kini, iaitu PKP 3.0.

Sudah tentunya PKP ini memberi impak besar kepada banyak industri, apatah lagi hingga
menyebabkan beberapa perusahaan yang terpaksa ditutup dan dikecilkan operasinya
disebabkan tidak dapat menampung perbelanjaan harian yang tinggi.

Risiko yang perlu dihadapi

Pada Oktober 2020, sebuah syarikat penerbangan tambang rendah Airasia Bhd dan Airasia X Bhd telah mengesahkan bahawa ia terpaksa memberhentikan 10 peratus daripada kakitangannya.

Hal ini berikutan syarikat penerbangan itu mengambil masa yang lama untuk pulih walaupun pada ketika itu PKP 1.0 telah tamat.

Syarikat yang begitu besar juga turut terkesan dengan situasi pandemik ini, inikan pula
syarikat kecil, apatah lagi peniaga-peniaga kecil tepi jalan.

Situasi ini telah menyebabkan sebahagian besar rakyat hilang pekerjaan dan sumber
pendapatan mereka sekali gus menyebabkan kadar pengangguran negara berada pada
tahap yang membimbangkan.

Kerajaan telah memperkenalkan satu inisiatif yang dikenali sebagai i-Sinar dalam
belanjawan negara 2021. Inisiatif ini memberi peluang kepada pencarum Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan wang simpanan mereka secara one-off.

Tidak dinafikan inisiatif ini menguntungkan dan dapat meringankan sebilangan besar rakyat. Ada yang menggunakan peluang ini untuk memulakan perniagaan, satu usaha mandiri yang perlu dipuji, tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan sahaja.

Namun peluang ini tidak memihak kepada golongan belia yang baru hendak memulakan
hidup. Kebanyakan duit simpanan mereka dalam KWSP sekadar cukup-cukup makan
sahaja.

Selain itu, terdapat juga peluang pekerjaan yang lain yang boleh dimanfaatkan oleh
golongan yang kehilangan pekerjaan ini iaitu sebagai penghantar makanan (food rider).
Syarikat yang menawarkan servis penghantaran makanan ini semakin popular dalam
kalangan masyarakat terutamanya di bandar.

Berikutan tragedi pandemik yang terjadi, sebahagian besar masyarakat memerlukan servis penghantaran makanan ini untuk memudahkan urusan harian mereka.

Namun, bagi kebanyakan masyarakat yang tinggal di luar bandar atau bandar-bandar kecil, servis ini kurang popular. Apabila kurang popular, kuranglah pendapatan penghantar
makanan. Oleh hal demikian, pekerjaan ini kurang diminati oleh mereka yang tinggal di luar bandar.

Justeru, pihak kerajaan harus memikirkan solusi terbaik untuk menyelesaikan isu
pengangguran ini dengan lebih holistik. Solusi tersebut haruslah mengambil kira semua
faktor termasuklah kawasan dan umur.

Perlu lebih proaktif!

Malah kerajaan juga harus lebih proaktif dalam membendung isu pengangguran ini terutama ketika pandemik ini. Pimpinan harus bersedia dengan solusi atau pelan tindakan yang tuntas supaya rakyat rasa dilindungi. Rakyat tidak sepatutnya dibiarkan terkontang-kanting tanpa bantuan sewajarnya daripada kerajaan.

Menurut Prof Dr Mohd Nazari Ismail, iaitu pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya, masalah pengangguran tidak akan dapat diselesaikan kecuali jika seluruh sistem kewangan negara dirombak semula dan hutang tidak lagi menjadi industri.

Apa yang berlaku kini adalah industri perbankan telah menggalakkan aktiviti meminjam.
Syarikat-syarikat besar juga tidak terkecuali untuk meminjam. Jumlah pinjaman ini adalah mengikut saiz sesebuah syarikat.

Semakin besar syarikat, semakin besar pinjamannya, sekali gus memberi keuntungan yang banyak kepada pihak bank. Syarikat-syarikat yang berhutang ini perlu meningkatkan produktiviti mereka dan mengurangkan kos operasi syarikat. Apabila bercakap tentang kos operasi, salah satu cara untuk mengurangkan kos operasi adalah dengan memaksimumkan tenaga kerja yang ada.

Pekerja perlu melakukan banyak tugasan (multitasking) untuk mengurangkan kos pekerja, lantas menyebabkan peluang pekerjaan menjadi semakin sedikit. Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil negara akan berhadapan dengan masalah jutaan rakyat yang menganggur pada tahun-tahun mendatang.

Oleh hal demikian, wajarlah pihak kerajaan dan pihak bank ini duduk berbincang lalu
strategikan semula sistem kewangan negara. Mungkin dengan usaha ini, industri-industri
yang dihimpit hutang ini akan mampu membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak
kepada masyarakat, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran negara.

Nur Zahanim Muhammad Zahir
Pegawai Pertubuhan IKRAM Malaysia