Home Nasional Projek PSR ancam 87 spesies hidupan laut – Che Abdullah

Projek PSR ancam 87 spesies hidupan laut – Che Abdullah

BALIK PULAU – Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) didakwa akan mengancam sebanyak 87 spesies hidupan laut sekali gus memberi impak kepada golongan nelayan.

Timbalan Menteri II Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ancaman spesies hidupan laut itu antara yang mendatangkan pulangan lumayan kepada nelayan.

Che Abdullah.

 Antara hidupan laut itu ialah udang kaki merah, udang harimau, udang putih dan bawal tambak. 

Selain itu, jelas beliau, hasil pendaratan perikanan dari kawasan PSR dan kawasan yang bakal terkesan dengan projek itu juga dianggarkan sebanyak 13,418.11 tan setahun atau 24.5 peratus dari keseluruhan hasil pendaratan negeri Pulau Pinang. 

“Kita gesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melihat isu projek PSR dalam skop yang lebih luas termasuk kesan jangka panjang kepada nelayan serta habitat hidupan marin di kawasan yang akan ditambak. 

“Ini kerana saya meneliti maklum balas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini lebih memfokuskan perbincangan sangat kecil sedangkan kita mempertikai soal kerosakan habitat perikanan secara menyeluruh.

“Suka saya ingatkan kita mahu industri perikanan dibesarkan bukan isu bayaran gaji tetap yang menjadi persoalan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan dan bertemu komuniti nelayan di Teluk Kumbar di sini hari ini.

Che Abdullah meninjau dan bertemu komuniti nelayan di Teluk Kumbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada tahun 2019, Datuk Salahuddin Ayub, bekas Menteri Pertanian dan Asas Tani (MOA) dalam satu kenyataan di Parlimen telah menyarankan kepada Kerajaan negeri untuk menjalankan dua kajian untuk meneruskan projek PSR namun hanya satu saja dilakukan.

“Saya difahamkan, kajian noise pollution (pencemaran bunyi) baru sahaja bermula di mana lokasi persampelan dikenal pasti manakala kajian bagi migrasi udang masih belum dilaksanakan.

“Persoalannya, mengapa PSR hendak diteruskan sedangkan perkara mitigasi penting ini belum diselesaikan?

“Setelah meneliti semua maklumat berkaitan projek PSR ini, sekali lagi saya tertanya apakah tujuan sebenar projek ini sedangkan umum mengetahui bahawa majoriti nelayan dan penduduk setempat yang terjejas,” tegas Che Abdullah.

Dalam perkembangan sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan akan meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek PSR itu.

“Kemungkinan itu memang sentiasa ada dan kita akan lebih meneliti apa peranan dan tugas yang boleh kita laksanakan dalam memastikan projek PSR tidak diteruskan,”katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corp Sdn. Bhd. (PIC), Datuk Seri Farizan Darus dalam kenyataannya kepada media berkata, pihaknya menunggu JAS memberi ‘lampu hijau’ kepada EMP yang dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat sebelum melaksanakan projek PSR, sesuai dengan garis panduan yang diluluskan. 

Bagaimanapun, JAS dalam satu kenyataan menafikan perkara itu dan memaklumkan jabatan tersebut belum menerima EMP mengikut turutan asal projek selepas EMP dikemukakan sebelum ini tidak sama seperti dalam Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang lulus pada 25 Jun 2019. – MalaysiaGazette