Home Utama Suspek langgar mati warga emas ketika elak pemeriksaan polis direman 6 hari

Suspek langgar mati warga emas ketika elak pemeriksaan polis direman 6 hari

Suspek langgar warga emas hingga maut susulan lari daripada pemeriksaan polis direman di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Suspek yang bertindak melanggar seorang warga emas hingga maut ketika melarikan diri daripada pemeriksaan polis direman selama enam hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 46 tahun itu direman di Mahkamah Majistret Pulau Pinang pagi tadi bagi membantu siasatan pihak polis.

Dalam perkembangan sama, Soffian berkata, hasil ujian air kencing ke atas suspek semalam mendapati dia positif dadah.

Jelas beliau, hasil soal siasat suspek mengaku mendapat bekalan dadah daripada rakannya di Bayan Lepas untuk kegunaan sendiri.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan suspek bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan polis susulan mempunyai dadah dalam milikannya.

“Selain itu, kita juga sedang jalankan siasatan sama ada dadah dalam milikannya itu untuk dibekalkan  kepada rakannya yang lain atau sebaliknya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Artikel berkaitan:

Tambah Soffian, siasatan lanjut mendapati suspek sudah bercerai dengan isterinya dan memiliki seorang anak.

MalaysiaGazette semalam melaporkan polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah kereta yang dipandu seorang pemotong rumput kerana melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum melanggar mati seorang warga emas di Jalan Perak di sini.

Tembakan itu dilepaskan berhampiran kawasan perumahan di Jalan Batu Uban 2 di sini iaitu kira-kira lebih tujuh kilometer dari lokasi langgar lari susulan suspek lelaki berusia 46 tahun itu cuba merempuh pihak polis yang mengejarnya. – MalaysiaGazette