Home Nasional Parlimen segera bersidang berita baik untuk rakyat

Parlimen segera bersidang berita baik untuk rakyat

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan supaya Parlimen segera bersidang dianggap satu berita baik kepada rakyat.

Melalui langkah itu ia mungkin ada sinar kepada rakyat yang kian terdesak akibat  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0  sekarang.

Hilang pekerjaan dan sumber pencarian merupakan masalah utama rakyat yang kini mendapat perhatian serius YDPA dan Raja-Raja Melayu yang bersidang di Istana Negara semalam.

Meskipun tidak ditentukan tarikh Dewan Rakyat bersidang namun rata-rata orang ramai boleh menarik nafas lega dan melihat jalan penyelesaian terbaik menurunkan suhu politik seterusnya merencana bantuan kepada rakyat.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati orang ramai meluahkan rasa lega selepas dengan khabar dari istana yang dianggap memahami denyut nadi rakyat yang tertekan sekarang.

Menurut Johnny Tan, 69, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga bulan depan untuk menyalurkan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sedangkan golongan B40 hampir tiada wang untuk membeli barang keperluan untuk terus hidup.

Pemandu teksi, Johnny Tan. Foto MOHD ADZLAN, 17 JUN 2021.

Begitu juga proklamasi darurat, tiada keperluan untuk diteruskan sedangkan pandemik Covid-19 boleh diuruskan dengan membuka semula Parlimen.

“Ini betul-betul (kepentingan) politik, kita sudah tak boleh bersuara lagi, kerajaan pun tak pandang pemandu teksi lagi, hanya Grab sahaja.

“Negara kita tak perlu darurat untuk selesaikan Covid-19, elok buka balik Parlimen senang wakil rakyat bawa suara orang ramai yang susah,” katanya.

Tamilarasan Sinasami, 48, pula tidak menafikan kesusahan rakyat hari ini disebabkan pemimpin sendiri yang kuat berpolitik hingga bantuan tertangguh.

Pemandu teksi, Tamilarasan Sinasami. Foto MOHD ADZLAN, 17 JUN 2021.

“Ini pun jadi sebab politik. Saya setuju apa yang Agong cakap, kerajaan kena kurangkan politik. Saya banyak susah sekarang, nak isi minyak kereta pun kadang-kala tak ada duit. Kalau darurat sambung lagi, kita boleh mati.

“Isteri saya juga sudah tak bekerja, bos suruh duduk rumah, tiada kerja tiada gaji,” keluhnya.

Sementara itu, Mohd Zulkiflie Mat Yasin, 31, pula berkata, YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu merupakan harapan terakhir rakyat sekiranya kerajaan terus gagal membantu rakyat yang terjejas.

Penghantar makanan Food Panda, Mohd Zulkiflie Mat Yasin. Foto MOHD ADZLAN, 17 JUN 2021.

“Sekarang ini, saya harapkan Agong dan Raja-raja Melayu, contohnya Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tuanku memang bagus, banyak tolong orang.

“Raja-Raja Melayu ini boleh jadi payung rakyat, sebab Tuanku ini bukannya orang politik, lebih dekat dengan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette