Home Politik Segerakan pemberian vaksin kepada warga emas – Gerakan

Segerakan pemberian vaksin kepada warga emas – Gerakan

Hng Chee Wey.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri menyegerakan pemberian vaksin kepada 270,000 warga emas di negeri tersebut.

Setiausaha Parti Gerakan Pulau Pinang, Hng Chee Wey berkata, selain pemberian vaksin, kerajaan negeri juga digesa melakukan saringan secara besar-besaran tanpa mengehadkan jumlah orang yang bakal mengambil suntikan.

Jelas beliau, gesaan itu susulan daripada ujian saringan bersasar yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Pulau Pinang (JKNPP) terdapat kes positif di Flat Padang Tembak, di sini.

“Kita mengambil berat tentang keadaan penduduk di Flat Padang Tembak yang padat selain majoriti penduduknya terdiri daripada warga emas iaitu golongan berisiko tinggi.

“Wakil rakyat juga harus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menawarkan perkhidmatan saringan kepada semua supaya liputan kesihatan sekali gus dapat mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Chee Wey berkata, Gerakan turut mencadangkan pembinaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan Padang Tembak bagi memudahkan penduduk terutamanya warga emas yang mempunyai masalah pergerakan ke lokasi PPV.

“Setakat ini hanya terdapat dua PPV awam yang disediakan di daerah Timur Laut, iaitu di Kompleks Masyarakat Penyayang dan Tapak Pesta Sungai Nibong dan kedua-dua lokasi itu jauh dari kawasan Padang Tembak.

“Sekiranya diwujudkan PPV di Padang Tembak, ia akan mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada golongan warga emas, khususnya mereka yang tidak mempunyai telefon bimbit pintar atau tidak tahu mengguna aplikasi MySejahtera. – MalaysiaGazette