KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil maklum titah pandangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah seperti mana yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara pada 16 Jun 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak kerajaan telah memainkan peranan dengan menasihati baginda mengenai situasi semasa pandemik Covid-19 di negara ini.
“Dalam sesi-sesi menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Perdana Menteri telah menyembah maklum dan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perjalanan pengurusan pandemik Covid-19, penguatkuasaan Ordinan-Ordinan Darurat, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat, pelaksanaan sidang Parlimen, Pelan Pemulihan Negara dan perkara-perkara lain yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan satu muka surat Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu menjawab mengenai titah rasmi Al-Sultan Abdullah yang membuat seruan agar persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Baginda menzahirkan perkara itu selepas berkenan menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Keputusan tersebut dibuat selepas baginda memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan.
“Menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” katanya lagi.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, YDPA tidak menyebut masa tertentu untuk sidang Parlimen dibuka segera.
Malah Muhyiddin, katanya, sudah menyatakan akan membuka semula sidang Parlimen pada September atau Oktober depan.
Kali terakhir sidang Dewan Rakyat diadakan adalah pada Disember tahun lalu selepas 29 hari bersidang.
Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada ketika itu meluluskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Perbekalan 2021. – MalaysiaGazette