KUALA LUMPUR – Khabar gembira kepada pengguna dan juga peniaga di seluruh negara apabila bekalan sayur-sayuran dari Cameron Highlands kini kembali beroperasi seperti biasa.
Sebelum ini bekalan itu dilaporkan terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tanah tinggi yang menjadi tumpuan kepada pusat peranginan itu bermula 14 hingga 27 Jun ini.
Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah membuat sesi libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Persatuan Peladang Sayur Cameron Highlands, wakil pemborong, Majlis Keselamatan Negeri Pahang, Pejabat Daerah Cameron Highlands, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan beberapa agensi kerajaan lain bagi mencari jalan keluar dalam isu bekalan sayur-sayuran.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan bekalan sayur dari Cameron Highlands tidak terjejas meskipun PKPD di Kampung Raja, Cameron Highlands telah dilaksanakan bagi tujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“Kerajaan akan mengambil langkah segera untuk memastikan pengurusan tanaman ladang serta proses membawa keluar hasil pertanian daripada Cameron Highlands dapat berjalan seperti biasa.
“Ini termasuklah mengusulkan suntikan vaksin kepada peladang dan pekerja-pekerjanya dilaksanakan secepat mungkin.
“Sebagaimana yang telah dimaklumkan, hanya 30 hingga 40 peratus bekalan sayur Cameron Highlands datang daripada ladang-ladang di Kampung Raja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah KPDNHEP, peratusan itu tidak akan menjejaskan rantaian bekalan sayur di pasaran keseluruhannya dan semua kawasan tanaman sayur selain Kampung Raja di Cameron Highlands sudah beroperasi seperti biasa.
Ujar kementerian itu, hasil daripada sesi libat urus tersebut juga, PDRM telah memaklumkan pergerakan lori-lori untuk membawa keluar sayur dari Cameron Highlands dibenarkan.
Pada masa yang sama, ladang sayur di kawasan Lojing juga telah dibenarkan beroperasi sepenuhnya tanpa isu pengangkutan dan pengedaran.
“Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara akan terus menjalankan pemantauan ke atas bekalan dan harga sayur-sayuran di pasaran,” katanya.
Penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut.
Pada masa yang pengguna dinasihatkan tidak membuat pembelian panik kerana bekalan sayur adalah stabil dan mencukupi dan sebarang aduan berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang melalui pelbagai saluran aduan yang telah disediakan oleh kementerian.- MalaysiaGazette