KUALA LUMPUR – Kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menggesa agar semua pihak berhenti usaha-usaha politiking disambut baik sayap pemudanya.
Menurut Ketua Penerangan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, amat wajar untuk semua pihak meletakkan fokus kepada agenda pengurusan Covid-19 dan pemerkasaan ekonomi daripada terus menimbulkan polemik politik.
Ia boleh memecahbelahkan agenda pemulihan negara yang direncanakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Armada yakin bahawa satu-satunya jalan keluar secara bersama dalam situasi semasa menunjukkan kesan positif atas segenap hasil usaha pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan kabinet, penjawat awam dan para frontliners dengan kerjasama yang baik segenap lapisan masyarakat adalah dengan memberikan fokus menjayakan strategi Pelan Pemulihan Negara yang dikemukakan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelan ini kata Mohd Ashraf Mustaqim disokong pengalaman kerajaan sebelum ini yang pernah berjaya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) selain kejayaan semasa pengurusan kerajaan dalam inisiatif pemberikan vaksin.
“Perdana Menteri dalam pada masa yang sama secara jelas menyatakan kesediaan dan komitmen pihak kerajaan Perikatan Nasional untuk memberi laluan kepada ‘pemulihan amalan demokrasi’ dengan menjunjung titah Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk membuka sidang Parlimen.
“Namun apa yang wajar dipertimbangkan oleh rakyat adalah kesedaran sejauh mana keikhlasan pihak pembangkang untuk mengunakan sidang parlimen berketepatan dengan iltizam Majlis Raja-raja Melayu selaras dengan hasrat Perdana Menteri juga yang telah lebih awal mengemukakan agenda untuk menjayakan sidang parlimen (terdahulu sebelum Raja-Raja bertitah pada sesi pembentangan Pelan Pemulihan Negara),” katanya lagi.
Terdahulu, Muhyiddin berkata, Pelan Pemulihan Negara diyakini dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober.
Perdana Menteri berkata, pelan itu adalah satu strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik Covid-19 merangkumi empat fasa yang akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat. – MalaysiaGazette