KUALA LUMPUR – Menara komunikasi milik Maxis yang dikongsi bersama Celcom yang terletak di Ladang Sibol B, Kota Tinggi, Johor terbakar Selasa lalu.
Punca kebakaran di menara komunikasi berkenaan belum diketahui dan sedang dalam siasatan.
Kejadian kebakaran tersebut telah memusnahkan peralatan, bahagian kabin dan bekalan elektrik di menara berkenaan, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ekoran daripada insiden kebakaran tersebut, perkhidmatan terjejas serta gangguan liputan dijangka berlarutan untuk tempoh beberapa hari akan datang.
Sehubungan itu, SKMM telah mengarahkan semua penyedia perkhidmatan yang berada di menara komunikasi tersebut untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih dengan kadar segera dan difahamkan kerja-kerja tersebut sudah dimulakan bagi memulihkan rangkaian komunikasi yang terjejas.
Sebagai langkah sementara, Mobile Communications Vehicle (MCV) dan Base Transceiver Station (BTS) akan digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberikan perkhidmatan sehingga kerja-kerja baik pulih siap sepenuhnya.
SKMM menjangkakan rangkaian komunikasi yang terjejas akan pulih sepenuhnya selewat-lewatnya pada hari Selasa depan. – MalaysiaGazette