KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia hari ini menawarkan khidmat menghantar bantuan kit makanan ke Labuan untuk diagih kepada penduduk di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menurut kenyataan TUDM, bantuan tersebut adalah daripada Kementerian Wilayah Persekutuan Malaysia (KWPM) yang dibawa menggunakan pesawat angkut, C130H, dari No. 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.
Antara barangan yang dibawa dalam penerbangan itu adalah barangan keperluan asas seperti pek beras, gula, tepung gandum dan pek minyak masak dengan anggaran berat keseluruhan empat tan.
“Proses memuatnaik barangan ini telah dimulakan pada jam 5 pagi dan mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit.
“Proses ini telah dilakukan oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang dengan kerja sama loadmaster pesawat C-130H,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, sebaik mendarat di Pangkalan Udara Labuan pada pukul 11.20 pagi, barangan sumbangan itu diserahkan kepada Perbadanan Labuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Labuan bagi tujuan agihan kepada komuniti yang telah dikenalpasti.
Katanya, TUDM sentiasa komited dan bersiapsiaga dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan demi menjaga kedaulatan negara disamping menjalankan tugas-tugas penghantaran dalam misi menyalurkan bantuan bagi kesejahteraan rakyat dan negara.
“Setinggi-tinggi penghargaan dizahirkan kepada semua anak kapal No. 20 Skuadron, anggota Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang dan Pangkalan Udara Labuan serta semua pihak yang menjayakan dan melancarkan proses penghantaran kit makanan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette