Home Nasional Movak mudahkan proses vaksinasi warga emas dan OKU di luar bandar

Movak mudahkan proses vaksinasi warga emas dan OKU di luar bandar

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique melancarkan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi pagi tadi.

KOTA TINGGI – Prihatin dengan perkhidmatan yang diperlukan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dalam mendapatkan vaksin, satu Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) dilancarkan hari ini bagi membolehkan proses vaksinasi masyarakat luar bandar berjalan lancar.

Bertempat di Fela Lok Heng Barat di sini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique ketika melancar program tersebut berkata, inisiatif tersebut juga akan mempercepatkan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PCK) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akhir Februari lalu.

Katanya, inisiatif selama dua bulan itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil kira faktor penduduk yang belum mendaftar suntikan vaksin ekoran kekangan capaian internet dan ketiadaan telefon pintar.

Menerusi program itu, tiga unit gerak kerja ditubuhkan iaitu Unit Panggilan yang akan membuat panggilan pengesahan dan peringatan kepada penerima vaksin yang telah mendaftar berkenaan tarikh janji temu mereka serta Unit Mobilisasi bagi menyediakan pengangkutan untuk mereka mengambil suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV).

“Turut diwujudkan Unit Tindakan Komuniti bagi memberi perkhidmatan ‘outreach’ kepada masyarakat setempat bagi membantu pendaftaran pengambilan vaksin serta memberi maklumat, kempen kesedaran tentang pengambilan vaksin serta pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta pemakluman keputusan-keputusan kerajaan berhubung wabak ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan Unit Mobilisasi Vaksin Komuniti iaitu PPV bergerak yang melibatkan 10 buah bas diubahsuai untuk kegunaan di beberapa negeri antaranya Johor, Selangor, WIlayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Terdahulu, seramai 498 individu dari gugusan Felda Lok Heng Barat, Timur dan Selatan telah menerima suntikan vaksin masing-masing melalui program berkenaan hari ini.-MalaysiaGazette