Home Nasional MAQIS Johor tahan 12 pokok bonsai bernilai RM700,000

MAQIS Johor tahan 12 pokok bonsai bernilai RM700,000

Dua kontena berisi bonsai yang bernilai RM700,000 ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) baru-baru ini.

PASIR GUDANG – Dua kontena berisi bonsai yang bernilai RM700,000 ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor pada Khamis lalu.

Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim berkata, pihaknya menerima serahan dua kontena berisi 12 pokok bonsai itu daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurut beliau, barangan dagangan berkenaan cuba dibawa masuk dari Jepun tanpa permit import sah.

“Pemeriksaan dibuat mendapati dua kontena berkenaan memuatkan 12 unit pokok bonsai spesis podacarpus macrophyllus dianggarkan bernilai RM700,000.

“Sehubungan itu, barangan dagangan berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

“Kes akan disiasat di bawah seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Beliau turut menasihati semua pengimport dan pengeksport agar mengikut peraturan ditetapkan kerajaan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan Malaysia terpelihara. – Malaysiagazette