Home Pendapat Tiga persoalan kritikal Pelan Pemulihan Negara

Tiga persoalan kritikal Pelan Pemulihan Negara

Kakitangan pekerja kilang beratur menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin pada Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di Texas Instrument, Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2021.

SETELAH dua minggu berlalunya PKP Menyeluruh, akhirnya Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang menyimpulkan penanda aras tertentu bagi menggerakkan pemulihan semula negara dari satu fasa pertama hingga keempat.

Pengumuman pelan yang mempunyai perincian yang boleh dikatakan mempunyai asas yang kukuh untuk diketengahkan ini boleh dikatakan sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu memandangkan sepanjang berbolak-baliknya prosedur operasi standard (SOP) ini sentiasa mengelirukan ramai pihak tentang bagaimana kita mahu berfungsi kembali sepenuhnya.

Namun pengumuman pelan yang berasaskan tiga penanda aras ini iaitu keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti, keupayaan sistem kesihatan awam dan kadar perlindungan melalui dos penuh vaksin ini menimbulkan beberapa lagi persoalan tentang pelan ini.

Buat masa ini, sekurang-kurangnya ada tiga persoalan kritikal yang perlu diambil kira.

1. Apakah usaha yang dilakukan untuk mempercepatkan pemberian dos vaksin?

Berdasarkan pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini, salah satu kriteria untuk peralihan dari Fasa Pertama kepada Fasa Kedua ialah sekurang-kurangnya 10 peratus populasi telah mendapat dos penuh vaksin.

Walaupun buat masa kini kadar populasi yang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin telah pun mencapai 10.12 peratus sehingga artikel ini ditulis, populasi yang telah mendapat dua dos vaksin baru sahaja mencapai 4.37 peratus atau kurang daripada 50 peratus daripada penanda aras untuk peralihan daripada Fasa Pertama kepada Fasa Kedua pelan pemulihan ini.

Malah jika dilihat berdasarkan arah aliran pemberian vaksin di Malaysia sehingga 14 Jun (Rajah 1), walaupun peningkatan populasi yang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menunjukkan pertumbuhan eksponen, penanda aras yang menjadi perhatian di sini iaitu populasi yang divaksin sepenuhnya masih menunjukkan pertumbuhan linear.

Hal ini bermakna, jika pertumbuhan ini masih linear, maka kemungkinan besar yang akan berlaku ialah kita terpaksa menunggu sekurang-kurangnya dua bulan lagi sehinggalah sasaran 10 peratus populasi mendapat dos vaksin lengkap dicapai. Namun begitu, kita dapat memahami bahawa pemberian dos kedua ini bukanlah dapat dikawal secara mutlak oleh kerajaan memandangkan vaksin daripada syarikat berlainan mempunyai tempoh yang berlainan untuk pemberian dos kedua setelah selesainya dos pertama.

Dalam hal ini, dapat diamati bahawa langkah yang boleh dilakukan kerajaan bagi mempercepatkan pemberian dos lengkap vaksin ialah sama ada dengan
mempercepatkan pemberian vaksin yang boleh dilengkapkan segera kedua-dua dosnya atau mempercepatkan pemberian kesemua jenis vaksin Covid-19 secara
umumnya, atau kedua-duanya sekali.

Namun begitu, ramai masih menanti, apakah usaha kerajaan untuk mempercepatkan pemberian dos pertama untuk rakyat yang sudah lama menanti?
Malah jika mahu dibincangkan lagi, mengapa pemberian vaksin tidak seimbang dengan keperluan setiap negeri mengikut beban kes?

Contohnya, sehingga kini, hampir 50 peratus penduduk Putrajaya telah mendapat dos pertama, namun penduduk Selangor yang mendapat dos pertama masih pada paras bawah 20 peratus. Hal ini belum lagi mengambil kira banyak lagi tempat yang ditawarkan vaksin namun orang tidak datang mengambilnya.
Jika kerajaan benar-benar serius dalam memastikan seramai mungkin dapat divaksin secepat mungkin, kerajaan harus lebih tegas bagi memastikan orang mendapat vaksin sebagaimana kerajaan tegas melaksanakan PKP 1.0 dahulu.

Tambahan lagi, kerajaan juga harus lebih proaktif bagi memenuhi permintaan rakyat yang dari negeri yang mempunyai beban kes harian yang tinggi seperti Selangor. Jika tidak, negara berisiko menghadapi Fasa Pertama PKP yang terlalu lama yang membawa kepada masalah yang akan dibincangkan dalam persoalan kedua di bawah.

2. Apakah usaha membendung kemerosotan ekonomi sementara menunggu fasa pemulihan seterusnya?

Berdasarkan arah aliran dalam Rajah 1 di atas, sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini, sekiranya kadar pertumbuhan populasi yang divaksin sepenuhnya kekal pada kadar yang sama, maka kita hanya mampu berharap penanda aras ini dapat dicapai paling cepat pun lebih daripada dua bulan lagi.

Tambahan pula, kita masih belum mengambil kira penanda aras lagi satu iaitu penurunan bilangan kes harian sehingga lebih rendah daripada 4,000 kes sehari.
Langkah yang selamat bagi memastikan penanda aras ini betul-betul secara takrifannya dicapai sudah tentulah lebih kepada melihat arah aliran jangka masa
panjang yang stabil bawah 4,000 kes atau purata kes tujuh hari yang semakin baik, bukan sekadar sekali sudah turun bawah 4,000 kes maka terus tercapai penanda aras ini.

Malah kemungkinan Fasa Pertama yang lama ini berpanjangan juga bergantung pada kapasiti sistem kesihatan awam yang juga bergantung kepada kedua-dua penanda aras di atas.

Pendek kata, jika keadaan kekal sama tanpa usaha proaktif kerajaan, PKP Menyeluruh ini berkemungkinan besar akan mengambil masa yang lama.
Kemungkinan PKP Menyeluruh yang lama ini sepatutnya menjadi pengajaran untuk kerajaan agar segera melaksanakan langkah memberi rangsangan ekonomi dan merangka strategi terbaik agar ekonomi tidak terus lumpuh dan pengangguran meningkat sebagaimana pasca-PKP 1.0.

Namun begitu, pengumuman Pelan Pemulihan Negara ini seolah-olah memberi isyaratbahawa ekonomi hanya akan dipulihkan dengan sendirinya apabila negara telah mampu bergerak daripada satu fasa kepada fasa seterusnya dalam pelan ini.

Satu hal yang gagal diambil kira dalam pelan ini ialah walaupun dalam Fasa Kedua, sektor ekonomi yang dibenarkan akan diperluas dan ditingkatkan sehingga 80 peratus kapasiti staf namun banyak mana lagi perusahaan yang akan tinggal selepas tempoh Fasa Pertama yang mungkin berpanjangan?

Syarikat berskala besar mungkin tidaklah terlalu dipengaruhi oleh PKP Menyeluruh ini. Namun tanpa rangsangan dan bantuan yang ampuh, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkemungkinan besar menjadi lebih merosot jika tidak lingkup terus, seterusnya mengakibatkan kadar pengangguran yang lebih tinggi.

3. Mengapa tunggu sehingga Fasa Ketiga untuk membuka sidang Parlimen?

Tidak cukup dengan itu, jika kita menjangkakan imuniti kelompok berkemungkinan besar juga lambat dapat dicapai, pergerakan negara kita kepada fasa-fasa seterusnya juga berkemungkinan besar mengambil masa yang panjang. Hal ini menambahkan lagi satu kekeliruan iaitu mengapa sidang Parlimen perlu
dilambat-lambatkan lagi sehingga Fasa Ketiga pelan ini baru dapat diadakan?

Keseriusan situasi Covid-19 negara di samping pelaksanaan PKP 3.0 yang berkemungkinan berpanjangan ini memerlukan lebih banyak lagi perdebatan dasar-
dasar kesihatan awam dan ekonomi negara. Tidak sepatutnya wakil-wakil rakyat yang diundi ini hanya mendapat gaji namun tidak dapat menjalankan tugas mereka sebagai pembuat dasar.

Sepatutnya tiada alasan yang kukuh untuk menidakkan sidang parlimen untuk dilaksanakan secara maya. Jika yang dirisaukan ialah kehadiran ahli Parlimen kerana kualiti Internet yang berbeza, contohnya, sidang parlimen alam nyata sebelum ini juga menunjukkan prestasi kehadiran yang ada turun naiknya.
Sekurang-kurangnya usaha untuk sidang parlimen diadakan harus ada juga. Hal ini penting bagi memastikan adanya semak dan imbang akan polisi yang dibentangkan oleh kerajaan.

Kesimpulannya, Pelan Pemulihan Negara ini secara prinsipnya ialah suatu pelan yang lebih memberi ukuran konkrit tentang hala tuju negara ke arah pemulihan
daripada segi kesihatan, ekonomi dan kestabilan hidup rakyat secara umumnya. Namun begitu, implikasi yang timbul daripada pengumuman pelan ini juga harus ditangani agar ia tidak tinggal sekadar satu hala tuju sahaja tanpa gerakan yang juga konkrit untuk mempercepatkan pemulihan negara.

Wan Salman Wan Sallam
Bandar Tun Razak