Home Nasional Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya sebagai anak dan doktor. – Ashraf

Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya sebagai anak dan doktor. – Ashraf

Saharudin bersama isteri membuat panggilan video bersama anaknya Dr Ahmad Ashraf untuk melepaskan rindu
JOHOR BAHRU – “Doakan kami abi, umi … Abang Chik, Nanie dan Jaja sebagai petugas kesihatan diberi kekuatan untuk terus memberi khidmat kepada masyarakat terutama di waktu Covid-19 ini, terima kasih kerana besarkan abang Chik,” kata Dr. Ashraf Saharuddin kepada kedua orang tuanya.

Dr Ashraf yang kini bertugas di Hospital  Seremban memberitahu, walaupun dia kini bergelar seorang doktor, namun jauh di sudut hatinya rasa terkilan kerana tidak dapat merawat ibu dan bapanya yang disahkan positif Covid-19.

Jelas beliau, ketika mengetahui kedua orang tuanya itu disahkan positif dijangkitit virus itu perasaan bercampur baur, lebih-lebih lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah  membataskan pergerakannya.

“Sebenarnya bila disentuh soal itu kembali, Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu sebagai seorang anak dan juga seorang doktor.

“Dekat sini kita sibuk merawat pesakit ,macam-macam pesakit kita rawat, tetapi bila ibu bapa kita sakit kita bukan sahaja tidak dapat rawat dia, tetapi nak tengok pun tidak boleh. Macam-macam bermain di fikiran ketika itu.

“Saya faham tugas adalah sebahagian tanggungjawab saya, namun perasaan itu timbul sendiri, nasib hari ini sedikit baik kita ada kemudahan teknologi, jadi mudah bagi saya untuk tanya khabar mereka dan pantau sedikit kesihatan abi dan umi saya ketika itu,” katanya.

Doktor berusia 31 tahun yang diwawancara MalaysiaGazette melalui panggilan video bersama orang tuanya turut mengungkapkan rasa rindu  dan berharap mereka tidak sedih dan sentiasa menjaga kesihatan serta diri.

“Sempena Hari Bapa ini juga, Abang Chik hendak berterima kasih pada Abi dan Umi kerana besarkan Abang Chik. Abang Chik dan Hananie juga akan mendoakan kesihatan Abi dan Umi, insya-Allah kita akan berjumpa dan berkumpul lagi sebagai satu keluarga pada masa akan datang, dalam situasi lebih baik.

“Abi jangan sedih-sedih. I love u so much abi, umi. Doakan abang Chik ya,” katanya.

Dr. Asraf sentiasa berkongsi maklumat cara senaman yang perlu dilakukan kepada bekas pesakit Covid-19 kepada ibu bapanya.

Sementara itu, Saharuddin Hassan,60, berkata, dia dan isterinya sentiasa mendoakan kesejahteraan serta kesihatan anak-anak mereka terutama dalam menghadapi waktu yang sukar.

“Doa abi agar anak-anak abi menjadi anak yang soleh. Sekarang ni, setiap hari abi cuba khatam (Al-Quran) satu juz satu hari agar manfaat membaca Al-Quran akan diperoleh seluruh ahli keluarga,” katanya pada Dr Ashraf.

Menceritakan pengalaman dia serta enam ahli keluarganya yang baru sahaja sembuh Covid-19 selepas hampir tiga minggu berjuang, Saharuddin berkata, ia merupakan dugaan hebat.

Tambah bapa kepada empat orang anak itu, beliau tidak pernah mengalah dan bertekad mahu menjadi contoh kepada anak dan isterinya untuk cepat sembuh.

Beberapa hari selepas dia dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, isterinya, Kamaliah Zakaria, 59, pula dimasukkan ke hospital yang sama.

Ini membuatkannya bertambah risau namun semangat untuk cepat sembuh makin berkobar.

Ketika itu, jelas beliau, ahli keluarganya terpaksa ‘berpisah’ untuk menerima rawatan termasuk isteri dan cucu sulungnya.

“Melalui tempoh kuarantin berdua di rumah, anak sulung bersama menantu dan dua anak kecil mereka dikuarantin di rumah mereka di Senai.

“Selepas itu, anak kedua saya dimasukkan ke PKRC Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan anak ketiga pula di Hospital Permai.

“Pada ketika itu, saya fikir nak cepat sembuh. Hari-hari buat senaman dan latihan pernafasan (di hospital) bagi menaikkan kadar oksigen dalam darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Larkin Jaya, di sini hari ini.

Saharuddin turut mencadangkan agar pihak berwajib memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya senaman pernafasan buat bekas-bekas pesakit Covid-19 kerana masih ramai yang tidak tahu mengenainya.

Malah tambah beliau, ada pesakit yang mengambil ringan mengenai senaman pernafasan dan melakukannya sambil lewa apabila disuruh berbuat demikian.

Meskipun kini sudah sembuh, Saharuddin dan keluarga sentiasa berhati-hati dan memastikan tahap kesihatan mereka dalam tahap baik dengan sentiasa membuat senaman dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) setiap kali keluar rumah. – Malaysiagazette