KLANG – Polis menahan 38 individu termasuk 12 remaja kerana berlumba secara haram, berkumpul di tempat awam dan tiada penjarakan fizikal di Lebuhraya Selat Klang Utara (Shapadu), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurul Huda Mohd Salleh berkata, kesemua yang ditahan itu termasuk dua wanita berusia 16 hingga 25 tahun dalam Operasi Khas Samseng Jalanan.
“Operasi selama lima jam itu bermula jam 5 petang semalam dijalankan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.
“Sebanyak 38 kompaun telah dikeluarkan kepada kesemua individu terbabit di bawah Sesyen 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPPB) 1988 kerana kesalahan berkumpul di tempat awam untuk berlumba haram dan tiada penjarakan sosial,” katanya.
Katanya, hasil siasatan mendapati 12 remaja terbabit ditahan kerana berlumba dan disiasat di bawah Seksyen 42, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu secara melulu dan berbahaya).
“Susulan penahanan itu, sebanyak 35 motosikal dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk pemeriksaan lanjut.
“Polis turut mengeluarkan 92 saman atas pelbagai kesalahan lalulintas, manakala 24 motosikal pula disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Nurul Huda turut menasihatkan masyarakat agar tidak terlibat dengan kegiatan lumba haram dan ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak mereka
“IPD Klang Utara akan menjalankan operasi dan penguatkuasaan berterusan bagi membendung kegiatan lumba haram,” katanya lagi. – MalaysiaGazette