KUALA LUMPUR – Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) universiti awam dan Institut Pendidikan Guru (IPG) diharap dapat diberi keutamaan sepenuhnya dalam mengisi kekosongan jawatan 18,702 guru yang akan mula diambil pada bulan depan.
Hasrat ini disuarakan kerana golongan graduan ini adalah calon pendidik terlatih dan telah mengikuti pelbagai latihan profesionalisme guru, yang mana pastinya pengambilan graduan ISMP yang terlatih ini akan membantu pihak sekolah dan KPM dalam mencapai matlamat murni Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, para graduan ISMP juga dilengkapkan pelbagai kemahiran profesionalisme keguruan, komunikasi, penyelesaian masalah, teknologi IR 4.0, pengurusan malahan hubungan antarabangsa.
Langkah ini dilaksanakan agar bakal guru ini dapat melahirkan murid yang holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Beliau menyambut baik langkah pengambilan guru-guru oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengatasi kekurangan guru di sekolah-sekolah berkata, langkah ini pastinya memberikan nafas lega kepada ribuan graduan ISMP universiti awam yang sedang menunggu penempatan.
Malahan pengumuman yang menggembirakan ini pastinya akan memotivasikan graduan untuk mencurah bakti mereka dalam memartabatkan mutu pendidikan negara.
Katanya, dalam konteks UPSI, Md Amin berkata, setiap tahun universiti pendidikan ini melahirkan graduan berkualiti dalam bidang Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi untuk keperluan sekolah menengah.
Sehubungan itu, Pusat Kerjaya & Keusahawanan Graduan (EDGE) UPSI akan segera menghantar senarai nama dan butiran graduan dalam bidang tersebut untuk menyokong inisiatif KPM ini.
Bagi menggalakkan pengisian perjawatan guru secara sistematik dan menepati unjuran, beliau turut mencadangkan agar diwujudkan satu pangkalan data bersepadu di antara universiti awam yang menawarkan bidang pendidikan, Institut Pendidikan Guru dan KPM.
Pangkalan data ini pastinya dapat mewujudkan unjuran pengambilan, bidang pengajian, kekosongan perjawatan dan proses penempatan yang lebih sistematik.
Beliau menegaskan, UPSI dan setiap universiti yang menawarkan program pendidikan sentiasa menitikberatkan faktor kualiti dalam latihan pendidikan perguruan yang berlangsung selama hampir empat tahun di universiti awam.
Bagi pemantapan kualiti guru dalam jangkamasa panjang, Md Amin juga menyarankan penubuhan badan profesional pendidikan.
Sekiranya jurutera, doktor, malahan Lembaga Kaunselor memiliki badan profesionalnya sendiri, sudah tiba masanya agar badan profesional pendidikan ditubuhkan bagi memartabatkan kualiti guru di Malaysia.
Beliau menasihatkan agar semua graduan ISMP segera mendaftarkan diri untuk mengisi kekosongan penempatan seperti yang diumumkan oleh pihak kerajaan dan tidak terlalu cerewet memilih lokasi penempatan kerana pengalaman mengajar jauh dari kampung halaman adalah suatu pengalaman yang amat berharga dalam karier seorang pendidik. – MalaysiaGazette