Home Ekonomi Pelabur asing beli RM75.68 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing beli RM75.68 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing bertukar menjadi pembeli bersih bagi minggu berakhir 18 Jun lalu setelah dua minggu menjadi penjual bersih yang menyaksikan aliran masuk berjumlah RM75.68 juta.

Minggu lalu menandakan kali ketujuh pembelian bersih mingguan daripada pelabur asing daripada 24 minggu terkumpul setakat ini pada tahun ini.

Ketika pasaran dibuka semula Isnin lalu, pelabur asing membeli RM98.86 juta bersih ekuiti tempatan dengan peruncit dan institusi tempatan masing-masing sebagai penjual bersih sebanyak RM1.14 juta dan RM97.72 juta.

MIDF Research berkata, Pelabur asing adalah penjual bersih pada kebanyakan hari pada minggu lalu dengan pembelian bersih berlaku pada hari Isnin dan Jumaat.

Pembelian bersih pada hari Jumaat menolak tekanan penjualan minggu ini kerana pelabur asing membeli ekuiti bernilai RM314.32 juta.

Menurut firma penyelidikan itu, aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada hari Khamis kepada RM164.78 juta.

Pelabur runcit adalah pembeli bersih setiap hari kecuali pada hari Isnin.

Firma penyelidikan itu menambah, pembelian bersih terbesar oleh peruncit direkodkan pada hari Khamis kepada RM87.85 juta dan pembelian bersih terkecil adalah pada hari Selasa.

Secara kumulatif, untuk minggu ini, peruncit bersih membeli ekuiti bernilai RM227.45 juta di bursa.

Sementara itu, aliran masuk mingguan kumulatif institusi tempatan susut kepada RM303.13 juta.

Pembelian bersih berlaku dari hari Rabu hingga Khamis.

Katanya, penjualan bersih terbesar yang dilakukan oleh institusi tempatan pada hari Jumaat iaitu RM327.90 juta dan pembelian bersih terbesar adalah pada hari Khamis sebanyak RM77.33 juta.

MIDF Research berkata, sejak awal tahun 2021, secara kumulatif, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti sebanyak RM7.32 bilion.
Institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih masing-masing sebanyak RM3.97 bilion dan RM3.34 bilion

Dari segi penyertaan, pelabur runcit mencatat kenaikan pergerakan mingguan 0.95% sementara, institusi tempatan, dan pelabur asing mencatat pergerakan mingguan masing-masing 11.55% dan 39.41% dalam nilai purata dagangan harian (ADTV). – MalaysiaGazette