Home Nasional PPV UiTM beroperasi hari ini

PPV UiTM beroperasi hari ini

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pusat Pemberian Vaksin, Institusi Pengajian Tinggi (PPV,IPT) Mega di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) mula beroperasi hari ini.

Menurut kenyataan UiTM, PPV berkenaan adalah pusat kedua bagi universiti itu selepas PPV di UiTM kampus Puncak Alam.

“Ia mula beroperasi pukul 8 pagi sehingga 5 petang dan mampu memuatkan seramai 1,500 penerima vaksin pada satu-satu masa.

“Pusat ini dilengkapi fasiliti dengan ruangan parkir 800 kenderaan, kemudahan bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, ruang pemantauan dan kemudahan lain bakal memberi manfaat yang besar kepada warga Selangor dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang berdaftar melalui MySejahtera,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pengoperasian PPV berkenaan membabitkan 250 kakitangan terdiri daripada petugas barisan hadapan, pegawai daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj) di UiTM Shah Alam.

Ujarnya, sukarelawan pula terdiri staf UiTM, pelajar dan alumni yang akan bersama-sama terbabit menjayakan program itu.

“UiTM percaya melalui sokongan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kerajaan Negeri dan kementerian-kementerian lain yang terlibat, UiTM akan sentiasa bersedia memberikan kerjasama serta perkhidmatan terbaik dan profesional bagi menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin kepada orang ramai ke arah membantu negara melandaikan lengkung jangkitan wabak Covid-19,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, sebelum ini operasi pemberian vaksin di PPV, IPT UiTM berskala mega sudah bermula pada 7 Jun lalu di Dewan Berlian UiTM Kampus Puncak Alam.

Jelasnya, PPV berkenaan juga boleh memuatkan seramai 1,500 orang pada satu-satu masa, selain fasiliti dengan kapasiti ruangan parkir 300 kenderaan, bilik pemantauan dan kemudahan lain malah ia turut dilaksanakan secara hibrid. – MalaysiaGazette