Home Nasional 959 individu ingkar SOP, 35 PATI ditahan – Ismail Sabri

959 individu ingkar SOP, 35 PATI ditahan – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 959 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) di mana 923  daripadanya dikenakan kompaun manakala 36 lagi direman dalam Operasi Pematuhan semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kegagalan melakukan penjarakan fizikal merupakan kesalahan paling tinggi dikesan membabitkan seramai 251 individu.

Ia diikuti dengan kesalahan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis membabitkan 198 individu, gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (144) dan tidak memakai pelitup muka (134).

Turut dikesan kesalahan tidak patuh arahan kawalan pergerakan (84), membawa penumpang berlebihan (64), premis gagal patuhi arahan (19), aktiviti pusat hiburan (4) dan lain-lain (61), katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan sebanyak 91,112 pemeriksaan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

“Seramai 4,194 Pasukan Pematuhan melibatkan 19,653 anggota telah membuat pemantauan,” kataya.

Sementara itu, pihak berkuasa turut menahan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tujuh kenderaan dan empat bot dalam Operasi Benteng (Op Benteng) semalam.

“Sebanyak 158 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 13 aktiviti penglihatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette