Home Nasional Bukit Aman masih siasat penahanan Khairuddin di Perasing

Bukit Aman masih siasat penahanan Khairuddin di Perasing

Datuk Seri Abdul Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan mengenai penahanan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan seorang wanita di Perasing, Terengganu yang tular di laman media sosial sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siastan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya telah memanggil 11 orang saksi untuk dirakam keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, JSJ Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Jalil, Bukit Aman telah menerima laporan mengenai penularan hantaran media sosial bertajuk ‘Tular WhatsApp Khairuddin ditahan di Perasing, Terengganu’.

Tambah beliau, dakwaan penahanan yang dikaitkan dengan ahli parlimen Kuala Nerus itu dimuat naik pada laman sesawang Info Negara Kini pada 28 Mei lalu.

Ujarnya, Menurutnya, pihaknya masih perlu mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab memuat naik hantaran tersebut dan merakam percakapan individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes itu sebelum kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.

“PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak berasas tanpa mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber rasmi berhubung siasatan kes ini.

“Sebarang bentuk penyebaran berita palsu dengan menggunakan platform media sosial merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. -MalaysiaGazette