Home Nasional Dua lagi PKPD di Kunak, Sabah – Ismail Sabri

Dua lagi PKPD di Kunak, Sabah – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Dua lagi lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)  di Kunak, Sabah selama 14 hari berkuatkuasa 24 Jun hingga 7 Julai ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, dua kawasan yang akan melaksanakan PKPD itu  membabitkan Kampung Pangi Hujung dan Kampung JKR Lama.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melakukan 16 ujian saringan di Kampung Pangi Hujung dan 11 kes direkodkan manakala di Kampung JKR Lama, sebanyak 15 kes dikesan hasil daripada 42 saringan di lokaliti tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua lokaliti di Kunak, Sabah berkuat kuasa pada 24 Jun sehingga 7 Julai 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, kerajaan juga akan melanjutkan PKPD di Kampung Kebayau, Kota Belud, Sabah selama 14 hari lagi berkuatkuasa 24 Jun sehingga 7 Julai ini.

“Sehingga kini, KKM telah melakukan 200 ujian saringan dan 22 daripadanya disahkan positif Covid-19. KKM juga mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu di rekodkan di lokaliti tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Kebayau, Kota Belud, Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette