SHAH ALAM – Seorang eksekutif wanita sebuah pasar raya terkemuka direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima suapan bagi kerja-kerja pembersihan, antara 2018 hingga 2021.
Perintah reman itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam, Karthiyayini Ambualagan, hari ini selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, wanita yang memakai pakaian berwarna jingga itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada jam 10.55 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.
Semalam, SPRM telah menahan seorang eksekutif wanita sebuah pasar raya terkemuka bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada dua buah syarikat pembersihan berjumlah hampir RM40,000.
Menurut sumber, suspek wanita berusia 43 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 3.30 petang, semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Difahamkan suspek didakwa meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan daripada dua syarikat pembersihan.
Ia sebagai balasan memastikan syarikat terbabit mendapat kontrak pembersihan di beberapa bangunan pasaraya tersebut yang terletak di sekitar Melaka, Johor dan Selangor sejak 2018 hingga tahun ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette