KUALA LUMPUR – Graduan pendidikan akan tetap menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam pengambilan khas 18,702 orang guru mulai Julai ini, kata Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Ini bermaksud, KPM akan melihat terlebih dahulu graduan-graduan pendidikan terlebih dahulu ketika membuat pengambilan guru-guru.
KPM, katanya, hanya akan hanya meneliti opsyen-opsyen lain jika bekalan graduan pendidikan yang ada tidak dapat memenuhi keperluan yang dikehendaki.
Beliau menjelaskan, meskipun KPM membuat pengambilan besar-besaran namun graduan-graduan ini akan melalui proses saringan seperti biasa bagi mengekalkan bekalan guru-guru di sekolah.
“Yang mana lepas, yang layak, kita akan ambil.
“Namun, ada bidang-bidang yang tidak mendapat bekalan, jadi kalau kita biarkan maka isu ini (kekurangan guru) tidak akan selesai,” katanya dalam sidang media khas Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.
Artikel berkaitan: Pengambilan besar-besaran 18,702 guru mulai Julai ini
Ahad lalu, Radzi mengumumkan pengambilan 18,702 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 itu akan dilakukan secara one-off bertujuan menyelesaikan masalah kekurangan guru di sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh negara.
Pada masa ini terdapat empat buah negeri yang mengalami kekurangan guru yang agak kritikal iaitu Sarawak, Sabah, Selangor dan Johor.
Sekolah rendah mengalami kekurangan bekalan bagi guru bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Manakala di sekolah menengah pula kekurangan guru bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Reka Bentuk dan Teknologi.
Radzi menjelaskan, dalam memastikan pengambilan khas guru ini dibuat secara menyeluruh, KPM akan mewujudkan kluster-kluster opsyen bagi mendapatkan graduan yang layak untuk mengajar di sekolah-sekolah.
Melalui pendekatan ini, kekurangan tenaga pengajar bagi mata pelajaran kritikal dapat ditangani, sekali gus menyelesaikan beban sekolah-sekolah yang menghadapi masalah tersebut.
Beliau yakin kerjasama yang diberikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru, selain membantu KPM menguruskan sistem dan ekosistem pendidikan dengan lebih baik. – MalaysiaGazette