Home Sukan Kapasiti 60,000 penonton di Wembley untuk separuh akhir, final Euro 2020

Kapasiti 60,000 penonton di Wembley untuk separuh akhir, final Euro 2020

Kapasiti penonton di Wembley bakal ditambah kepada 60,000 penonton atau 75 peratus daripada kapasiti penuh stadium itu menjelang aksi separuh akhir dan perlawanan akhir Euro 2020 kali ini.- Gambar agensi.

LONDON – Kapasiti penyokong bola sepak di Stadium Wembley akan ditambah kepada lebih 60,000 orang untuk aksi separuh akhir dan final kejohanan Euro 2020 kali ini.

Kerajaan United Kingdom (UK) membuat pengumuman itu hari ini.

Ini bermakna 75 peratus kapasiti stadium akan dipenuhi penonton bola sepak untuk perlawanan separuh akhir dan akhir kali ini.

Ia juga bakal menyaksikan buat pertama kali dalam 15 bulan lalu kehadiran penyokong yang ramai bakal memenuhi dan memeriahkan stadium yang sunyi sepi sejak Mac lalu akibat penularan Covid-19.

“Ia merupakan satu berita gembira yang sangat dinantikan pemain setiap pasukan dan terutama sekali para rakyat di United Kingdom yang berpeluang menyaksikan tiga perlawanan terakhir kejohanan kali ini di Wembley,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) Aleksander Ceferin.

Kerajaan UK telah menangguhkan penamatan segala kawalan pergerakan sehingga 19 Julai ini tetapi tiga perlawanan terakhir Euro di Wembley bersama dengan acara sukan yang lain dibenarkan dengan kapasiti penonton tambahan di bawah Program Penyelidikan Acara.

Kapasiti penonton di Wembley telah dihadkan kepada 22,500 orang untuk setiap perlawanan peringkat kumpulan di Euro 2020 tetapi ia akan ditambah kepada 45,000 orang atau sekitar 50 peratus daripada kapasiti penuh stadium itu untuk dua perlawanan kalah mati di peringkat pusingan ke-16.

Perdana Menteri Itali, Mario Draghi mendesak penganjur iaitu UEFA supaya segera memindahkan aksi final Euro dari England rentetan kenaikan kes Covid-19 di negara tersebut.

Pada masa yang sama tercetus spekulasi kononnya perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir akan dikeluarkan dari London ke Budapest sekiranya para tetamu khas tidak diberikan pengecualian terhadap peraturan kuarantin yang ketat di England.-MalaysiaGazette