Home Nasional KPM bantu sedia fasiliti vaksinasi calon peperiksaan

KPM bantu sedia fasiliti vaksinasi calon peperiksaan

Dr. Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan membantu menyediakan segala fasiliti yang diperlukan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) bagi memastikan proses pemberian vaksin kepada para pelajar kelas peperiksaan dapat direalisasikan.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, usaha itu selaras dengan matlamat kementerian mahu para pelajar kelas peperiksaan dapat kembali ke sekolah lebih awal seterusnya menjalani sesi persekolahan secara bersemuka dengan lebih lancar.

Katanya, JKJAV sedang meneliti kaedah pemberian vaksin untuk calon-calon peperiksaan dan KPM sudah pasti akan memudahcarakan urusan tersebut.

“Di peringkat kementerian, apa saja keperluan dan bantuan termasuk jika mahu guna ruang sekolah dan sebagainya, kita akan bantu untuk laksana vaksinasi kepada anak-anak ini,” katanya dalam sidang media khas di kementeriannya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Radzi berkata, segala persediaan digerakkan supaya calon-calon dapat menghadapi suasana peperiksaan dalam suasana yang lebih selamat.

Menurut beliau, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memutuskan vaksin Pfizer-BioNTech diberi keutamaan untuk calon-calon peperiksaan.

“Kita selesaikan kumpulan ini dulu dan ini juga tertakluk kepada bila anak-anak ini boleh dibenarkan kembali ke sekolah,” katanya sambil menegaskan bahawa pemberian vaksin kepada para pelajar yang tidak mengambil peperiksaan juga diteliti.

Bagaimanapun, katanya, semua perancangan tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan faktor bekalan vaskin yang diperolehi kerajaan.

Beliau berkata, di bawah Pelan Pemulihan Negara, pemberian vaksin untuk sekolah akan bermula pada fasa ketiga, namun bagi murid kelas peperiksaan, KPM memohon pertimbangan calon-calon diberi vaksin lebih awal dan permohonan itu telah dipersetujui.

Menurut Dr Radzi, keterlibatan sektor pendidikan adalah indikator penting dalam PPN yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Kerajaan, katanya, sedang melipatgandakan usaha untuk memperoleh bekalan vaksin yang mencukupi bagi mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan Muhyiddin.

“Pokoknya sekarang adalah bekalannya. Kalau boleh kita mahu semua di vaksin segera. Semalam (juga) kalau boleh kita selesaikan. Namun kita perlu akui, dalam tempoh ini, perlu didahulukan dulu murid kelas peperiksaan.

“Kita mahu mereka dapat vaksin dulu dan boleh kembali ke sekolah sebab kementerian mahu proses pembelajaran secara bersemuka dapat berjalan dengan baik.

“Bila dibuka (sekolah), ia masih tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Sementara itu, Dr Radzi juga menolak dakwaan bahawa PPN dibuat secara terburu-buru.

Katanya, PPN direncanakan seiring dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan Program Imuniasasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di kalangan rakyat negara ini.

“Ada yang bertanya kenapa baru mahu umum Pelan Pemulihan Negara sekarang seolah-olah kita tiada perancangan. Tidak begitu.

“Pelan Pemulihan Negara adalah satu jalan keluar dan perkara utamanya adalah vaksinasi. Apabila bekalan vaksin agak stabil dan meningkat, maka kita lihat Pelan Pemulihan Negara diumumkan tepat pada masanya.

“Kita lihat dalam keadaan negara mahu keluar dari pandemik Covid-19, pelbagai pendekatan kita buat.

“Salah satu pendekatan ampuh adalah vaksinasi dan bekalan diterima sekarang semakin meningkat. Dengan adanya bekalan ini, ditambah kawalan pergerakan yang sedang berjalan, kita akan dapat lalui tempoh sukar ini,” katanya. – MalaysiaGazette