KUALA LUMPUR – Para peniaga diingatkan supaya menyediakan dokumen yang sah berkaitan kebenaran beroperasi semasa pemeriksaan dilakukan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Jelas kementerian itu, tindakan terhadap peniaga dan premis yang didapati tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Kedua, adalah berdasarkan daripada penerangan, pemantauan dan maklumat yang diterima.
Menurut KPDNHEP, penguatkuasa menilai keterangan daripada peniaga dan seterusnya akan membuat keputusan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Tindakan yang diambil itu berkaitan dengan Akta 342 SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan pengumuman Kerajaan mengenai penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula 1 Jun hingga 14 Jun yang telah dilanjutkan ke Fasa Kedua yang berakhir pada 28 Jun 2021.
“KPDNHEP ingin menjelaskan bahawa tindakan diambil berdasarkan maklumat dan penerangan yang diberikan oleh peniaga semasa operasi dijalankan dan setelah meneliti pematuhan ke atas SOP MKN dan pendaftaran di sistem CIMS 3.0,” kata kementerian itu menerusi kenyataan hari ini.
KPDNHEP memberi penjelasan bagi merujuk beberapa isu yang dibangkitkan dalam media sosial dan portal berita baru-baru ini berkenaan tindakan yang diambil oleh penguat kuasa kementerian terhadap peniaga-peniaga dan premis menerusi operasi yang dijalankan.
Selain itu, kementerian tersebut turut menyarankan peniaga yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil supaya merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Kementerian Kesihatan Malaysia yang berdekatan untuk pertimbangan selanjutnya.
Manakala bagi peniaga masih belum mendapat kelulusan untuk menjalankan operasi perniagaan, peniaga boleh menghubungi kementerian itu untuk permohonan atau mendapatkan maklumat lanjut tentang status permohonan mereka di talian 03-88825881/5905 atau melalui e-mel kepada [email protected].
“Peniaga juga boleh menghubungi Pejabat KPDNHEP di negeri mereka beroperasi untuk mendapatkan bantuan.
“KPDNHEP juga ingin menasihatkan semua peniaga supaya sentiasa merujuk kepada laman sesawang rasmi Kementerian untuk mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih di portal Kementerian di pautan www.kpdnhep.gov.my, tambah kementerian itu. – MalaysiaGazette