Home Seni Hidup Saya bukan anti vaksin, sudah suntik dos pertama – Lufya

Saya bukan anti vaksin, sudah suntik dos pertama – Lufya

Foto Instagram Lufya.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Lufya Omar kesal kerana masih ada segelintir individu yang memfitnah dirinya antivaksin.

Menerusi perkongsian di Instagram, Lufya mendedahkan dirinya sudah letih dengan perkara tersebut.

“Penatla. Letih dengan fitnah dan soalan yang bukan-bukan. Ada lagi yang DM nak menuduh Fya macam-macam.

“Fya nak beritau yang Fya bukan anti-vak. Penat la nak layan perkara-perkara yang macam ni,” luahnya.

Sementara itu, penyanyi itu turut berkongsi sekeping gambar daripada info di MySejahtera yang membuktikan dirinya sudah mendapatkan suntikan dos pertama pada 17 Jun lalu.

Ibu tunggal seorang anak itu menjelaskan orang ramai perlu ada  kefahaman mengenai imuniti kelompok dan menyatakan kepentingan untuk memilih vaksin yang terbaik dan halal.

“Kita paham ada itu herd immunity dan faham kepentingan vaksin terhadap masyarakat juga.

“Yang penting pilih vaksin yang terbaik dan halal. Lepas ini udah-udahla nak bangkitkan tentang isu vaksin ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, pelakon Rita Rudaini menempelak tindakan pengacara Fara Hanim Razak yang mendakwanya seorang anti vaksin dan menganggap Covid-19 adalah iluminati.

Terdahulu, Fara Hanim menerusi Twitter memuat naik hantaran ditulis, ‘Cuba teka jiran-jiran saya yang anti vaksin? Dua pelakon bermula dengan RR dan LL. Selalu duk sebar dakyah rebus bunga cengkih untuk elak Covid dan serta Covid adalah iluminati’.

Rita percaya RR yang dimaksudkan Fara Hanim itu adalah dirinya dan LL adalah pelakon, Lufya Omar atau Lufya Lanaa.

Rita berkata, tindakan pengacara berkenaan yang memuat naik ciapan sedemikian di Twitter adalah tidak matang. – MalaysiaGazette