Home Nasional Utamakan graduan siswasah pendidikan yang belum terima penempatan – CUEPACS

Utamakan graduan siswasah pendidikan yang belum terima penempatan – CUEPACS

Para cikguyang sudah dibebani dengan pelbagai kerja akhir tahun persekolahan dikejutkan dengan kerja baharu yang perlu disiapkan pada 30 November.
Gambar Hiasan. - foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan perlu memberi keutamaan dalam aspek kualiti, kemahiran dan minat calon-calon guru yang akan diambil secara besar-besaran tidak lama lagi.

Malah keutamaan juga perlu diberikan kepada para graduan daripada siswasah pendidikan yang masih tidak mendapat penempatan sebelum ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, ketiga-tiga elemen ini perlu diberi penekanan kerana cabaran yang dihadapi dalam dunia perguruan ketika ini amat besar dan memerlukan mereka mempunyai kualiti, kemahiran dan minat yang mendalam.

“CUEPACS tidak mahu pengambilan secara besar-besaran ini hanya mampu menyelesaikan isu kekurangan guru semata-mata tetapi tidak memberi impak yang diharapkan,” katanya menerusi kenyataan.

Pada Ahad lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, kerajaan akan mengambil seramai 18,702 orang guru baharu melalui Pengambilan Khas Guru secara one-off dalam usaha menangani kekurangan tenaga pengajar yang berlarutan sejak sekian lama di negara ini.

Katanya, pengambilan baharu itu akan dapat mengatasi masalah pembelajaran dan pengajaran di waktu sukar ini dapat berlangsung dengan baik.

Ketika ini terdapat empat buah negeri mengalami kekurangan guru yang agak kritikal iaitu Sarawak, Sabah, Selangor dan Johor, kata Radzi.

Bagaimanapun, menurut Adnan, pengambilan guru secara besar-besaran tidak sesuai diteruskan pada masa akan datang.

Sebaliknya, kata beliau, ia patut dilaksanakan secara berperingkat mengikut kekosongan semasa.

“Langkah ini lebih wajar kerana ia mampu mengatasi masalah semasa dan bukannya dikumpulkan untuk diselesaikan dalam satu tempoh sahaja,” kata beliau.

Sementara itu, CUEPACS berharap agar Kementerian Pendidikan dapat menyelesaikan masalah permohonan pertukaran guru sedia ada.

Menurut Adnan, permohonan pertukaran perlu diselesaikan sebelum memberi penempatan kepada guru-guru baru.

“Selesaikan dahulu permohonan guru-guru lama yang memohon untuk bertukar terutama kepada pasangan jarak jauh, mempunyai ibu bapa yang uzur atau menghadapi masalah kesihatan yang serius.

“Guru-guru yng bakal diambil tidak ditempatkan ke negeri yang ada permintaan pertukaran guru tinggi seperti Kelantan, Kedah, Terengganu kerana akan menjejaskan peluang guru lama yang telah memohon,” katanya. -MalaysiaGazette