KUALA LUMPUR – Seorang bapa mengurung isteri dan dua anaknya di rumah mereka di Negeri Sembilan akibat tekanan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kejadian berlaku di Taman Nusa Intan, Seremban semalam dikaitkan dengan lelaki itu mengalami tekanan kerana tidak lagi mempunyai pekerjaan gara-gara PKP.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Pegawai Operasi Balai Bomba Senawang, Zinurin Sarip berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.51 malam berhubung kejadian tersebut.
“Lelaki berkenaan bertindak mengunci pagar, gril dan pintu belakang rumahnya dari dalam disebabkan tertekan tiada pekerjaan akibat PKP.
“Kami awalnya memujuk lelaki terbabit namun selepas 15 minit dia masih tidak mahu beralah dan bomba terpaksa mengumpil pintu pagar dan gril rumah berkenaan.
“Kami memotong kunci mangga pintu rumah berkenaan disebabkan lelaki itu mendakwa tidak tahu di mana dia meletakkan kunci tersebut,” katanya.
Menurut Zainurin, isteri suspek ada mengadu kepada jirannya tentang perkara tersebut sebelum suaminya mengalami tekanan lebih teruk dan abangnya terpaksa datang dari Mambau untuk memujuk.
Difahamkan wanita dan anak-anaknya berusia empat bulan dan lebih setahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mereka dihantar ke rumah jiran manakala suaminya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette