BUTTERWORTH – Dua pemilik kilang di Mak Mandin, di sini, masing-masing dikompaun RM10,000 selepas dikesan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Tindakan itu diambil ke atas kilang kertas serta kilang menghasilkan produk keluli bagi pembungkusan makanan menerusi Ops Pematuhan SOP Kilang di kawasan terbabit.
Operasi yang berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 3 petang tadi turut disertai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Jabatan Tenaga Kerja, Majlis Bandaraya Seberang Perai, dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Ketua Polis daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan pertama di kilang kertas itu mendapati gagal mematuhi syarat kapasiti 60 peratus pekerja dibenarkan bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh ketika ini.
“Kompaun sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap pemilik kilang berkenaan atas kesalahan tersebut.
“Bagi kilang kedua pula, kita keluarkan kompaun berjumlah RM10,000 juga kerana gagal memastikan pekerjanya mengimbas kod QR MySejahtera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Noorzainy, dalam operasi yang sama, SSM turut mengeluarkan tiga notis saman berjumlah RM15,000 ke atas tiga buah kilang lain.
“Tindakan itu diambil berikutan kilang terbabit gagal mempamerkan nama syarikat dan nombor pendaftaran bagi tujuan perniagaan, gagal menzahirkan nama berdaftarnya dan nombor pendaftaran syarikat pada invois pesanan dan tuntutan lain milik syarikat terbabit,” ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, Noorzainy memberitahu, pemeriksaan polis hari ini mendapati pematuhan SOP kebanyakan pekerja serta pemilik premis di kawasan Mak Mandin berada dalam tahap memuaskan.
“Hampir 90 peratus pekerja mengimbas kod QR MySejahtera selain mengamalkan peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam menangangi penularan wabak Covid-19.
“Kita harap semua pihak meneruskan amalan sebegini agar jangkitan Covid-19 di tempat kerja dapat diputuskan,” kata Noorzainy. – MalaysiaGazette